TDM Peroleh Sejumlah Aset Baharu

03 November 2023

UAS CW-25D kerjasama Syarikat Global Komited Sdn Bhd dengan JOUAV (photo : JOUAV)

Tentera Darat terima 6 unit UAS pertingkat operasi perisikan taktikal KRD

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menerima 6 unit penerbangan tanpa pemandu (Unmanned Aerial System, UAS) dari Syarikat Global Komited Sdn Bhd, Malaysia.

Sistem penerbangan tanpa pemandu model CW-25 ini juga dibekalkan bersama 2 buah Command Vehicle (CV).

CW-25D Ground Control Station (photo : TDM) 

Aset yang dibekalkan itu akan digunakan dalam operasi perisikan (surveillance) oleh Kor Risik Diraja (KRD) bagi mendapatkan maklumat-maklumat perisikan taktikal yang tepat dan real-time untuk disalurkan kepada pemerintah yang memerlukannya.

Maklumat-maklumat real time yang diperolehi oleh sistem UAS itu adalah amat penting bagi membolehkan pemerintah merancang dan melaksanakan pelannya secara effektif.

Penyerahan UAS CW-25D dan Command Vehicle sebagai Ground Control Station (photo : TDM)

Keperluan sistem UAS yang dikehendaki oleh TDM adalah perlu untuk kegunaan operasi dalam pelbagai suasana termasuk di kawasan musuh selain perlu beroperasi pada siang dan malam.

Penerimaan aset ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan di Majlis Penyerahan Aset Tentera Darat Malaysia (TDM) Siri 3/23 di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.

Laser range finder (photo : TDM)

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat memaklumkan, TDM telah menerima sebanyak 661 aset pertahanan bernilai RM96.34 juta.

“Selain UAS, TDM turut menerima trak 3 tan GS Kargo, ambulans medan, kenderaan pembawa senjata (Pelancar Bom Tangan Automatik, AGL), kenderaan operasi khas (SOV), bot gempur, treler bot dan bot getah.

Special Operation Vehicle (photo : TDM)

“TDM turut menerima senjata mortar 60 millimeter (mm), night vision goggle (NVG) dan laser range finder (LRF),” jelasnya dalam kenyataan.

Menurutnya, perolehan secara berperingkat sejak awal tahun 2023 ini telah menjadikan kesiagaan TDM sentiasa berada di tahap yang tinggi bagi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara disamping memberikan bantuan terutama semasa negara ditimpa bencana alam.

Cendana Auto dilengkapi AGL (photo : TDM)

“Peningkatan kuasa tembakan ditingkatkan melalui perolehan Mortar 60mm untuk memberi bantuan tembakan mortar kepada platun infantri dan disokong oleh AGL,

“Peralatan Elektronik iaitu Night Vision Goggle dan Laser Range Finder digunakan sebagai alat membantu penglihatan di waktu malam, mendapatkan maklumat jarak dan mengenali sasaran dengan lebih tepat dan berkesan,

Mortar 60mm (photo : TDM)

“Manakala UAS digunakan dalam Operasi Perisikan (surveillance) oleh KRD,” jelas TDM lagi.

Mengulas mengenai Belanjawan 2024, Muhammad Hafizuddeain mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menaikkan memperuntukkan dana kepada TDM pada tahun hadapan.

Special Operation Vehicle telah dilengkapi dengan senapan mesin berat (photo : TDM)

“Kita dapat peruntukan lebih baik pada tahun hadapan dalam konteks pembangunan dan perbelanjaan mengurus. Senarai pembangunan aset itu kita memang sudah ada tetapi kita tidak akan buat perolehan secara semberono,

“Kita akan berpandukan plan strategik Army 4NextG demi siapkan angkatan untuk masa hadapan namun perbelanjaan itu akan dibuat secara seimbang bagi menumpuan sumber manusia dan perolehan kelengkapan aset serta pembangunan Tentera Darat,” ujarnya lagi. 

Subscribe to receive free email updates: