Kapal LCS: Dapat Tambahan RM2 bilion untuk Pembelian Misil

26 November 2023

Kapal LCS dapat tambahan RM 2 bilion untuk pembelian misil (photo : Airtimes)

Projek LCS: Pertambahan RM2 bilion untuk beli misil – Tok Mat

KUALA LUMPUR – Pertambahan peruntukan tambahan RM2 bilion bagi projek Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ships, LCS) adalah bagi pembelian misil untuk 5 buah kapal terbabit.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad berkata, ia kerana pembelian misil berkenaan tidak dimasukkan dalam kos reka bentuk asal kapal tersebut.

Menurutnya, penambahan kos itu juga bukan kos tambahan kerana kelewatan projek, tetapi tambahan dana untuk aset pertahanan dengan kos peluru berpandu sebanyak RM1.029 bilion.

“Berkenaan untuk pertambahan RM2 bilion, pertambahan tersebut bukannya melibatkan kos ‘over-run’. Ianya adalah pertambahan untuk kita membeli aset kompeten,

“Pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengenal pasti barangan. Dalam Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) juga dinyatakan dengan jelas RM1 bilion itu adalah membabitkan kos kadar faedah, insurans termasuk bayaran pengurusan,

“RM2 bilion ini secara jelas bukan kos terlebih masa, tetapi ketika kita membuat projek ini waktu itu kita belum kenal pasti misil yang mahu digunakan, jadi itu saja membabitkan kos RM1.029 bilion yang mana semuanya membabitkan pembayaran ‘one off’ atau sekali bayar saja,” katanya di Dewan Rakyat pada sesi penggulungan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 bagi Kementerian Pertahanan, semalam.

Laporan PAC (Public Accounts Committee) pada Oktober 2023 tentang projek LCS (image : PAC)

Mohamad turut menjelaskan, pengekalan pembinaan 5 buah kapal berbanding 6 buah pada asalnya adalah kerana projek itu telah membeli 5 set kelengkapan seperti lima set enjin, generator, gear box dan propeler.

“Kalau kita nak buat 6, maka akan ada pertambahan kos kerana kita perlu membeli lagi segala barangan. Begitu juga dengan mengapa kita meneruskan kontrak dengan Boustead Naval Shipyard (BNS). Ini diputuskan 3 kali oleh kerajaan terdahulu supaya kita teruskan dengan syarikat yang sama,

“Kita tidak boleh menukar syarikat dan buat tender baharu. Ianya akan menelan belanja yang lebih besar. Itu sebabnya syarikat ini diteruskan untuk meneruskan projek LCS ini,

“Mereka buat kerja baik. Mereka turut menggajikan anak-anak tempatan. Tiada sebarang masalah cuma ianya terpaksa diberhentikan dahulu disebabkan kajian semula dan 2 tahun setengah diberhentikan kerana COVID-19. Itu sahaja masalahnya, dan sekarang tiada lagi kelewatan,” katanya lagi.

Pada awal Oktober lalu, Naib Pengerusi PAC, Wong Shu Qi mendedahkan, 5 kapal itu dijangka siap pada 2029.

Beliau berkata, tempoh masa pembinaan LCS dilanjutkan lagi kepada 83 bulan dan TLDM hanya akan dapat memperoleh kelima-lima LCS pada 2029 berbanding kontrak asal di mana 5 kapal LCS itu sepatutnya diserahkan pada 2022. 

Subscribe to receive free email updates: