42 Tahun Berjasa kepada Tentera Darat Kini Ditamatkan Perkhidmatan

04 Januari 2023

Perbarisan 13 RPZ Condor 4x4 dan 1 Sibmas 6x6 (photo : TDM)

SARAWAK: Rejimen Keempat Kor Armor Diraja (4 KAD) telah melaksanakan perbarisan sempena status usang (Obsolete) Kenderaan Perisai (KP) Radpanzer Condor (RPZ Condor) 4x4 dan Sibmas Armoured Recovery Vehicle (ARV) 6x6 bertempat di Padang Kawad pasukan pada 1 Jan 2023.

Perbarisan yang diketuai oleh Pemangku Pegawai Memerintah 4 KAD, Mej Ahmad Faisal Muda turut disertai oleh 20 pegawai dan 50 Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) serta krew KJA dengan berlatarbelakangkan 13 buah KP RPZ Condor 4x4 pelbagai varian dan sebuah KP Sibmas AVR 6x6. 

SIbmas 6x6 ARV (photo : TDM) 

Perbarisan ini merupakan simbolik kepada termeterainya status Obsolete bagi KP RPZ Condor 4x4 dan Sibmas ARV 6x6 yang telah memasuki perkhidmatan Tentera Darat pada tahun 1981 kini telah pun berusia 42 tahun dan telah ditamatkan perkhidmatannya.

Turut diadakan demonstrasi penggunaan KP Sibmas AVR 8x8 sebagai sesi pendedahan terakhir kepada anggota 34 Wksp Armor di Garaj Kenderaan Jenis A (KJA).

Impak pelaksanaan acara ini adalah dapat meningkatkan jati diri dalam kalangan warga 4 KAD dan memberi ruang serta peluang warga 4 KAD untuk menzahirkan tanda penghargaan dan terima kasih kepada kedua-dua KP yang telah banyak berjasa dan menjadi ikon kepada bukan sahaja pasukan malah Kor Armor Diraja khasnya dan Tentera Darat amnya.

RPZ Condor 4x4 Tentara Darat Malaysia (photo : Wiki)

KP RPZ Condor telah banyak berjasa dan digunakan oleh Tentera Darat Malaysia dan pernah terlibat di dalam satu pertempuran semasa  operasi menyelamat Pertempuran Mogadishu di Somalia pada tahun 1993. Salah sebuah kenderaan ini diserang oleh peluru  Rocket Propelled Grenade (RPG) menyebabkan seorang anggota tentera Malaysia telah terbunuh apabila sebutir peluru menembusi ruang pemandu pada kenderaan tersebut.

Sebanyak 46 buah KP RPZ Condor  turut digunakan bagi tugas-tugas rondaan di Selatan Lubnan oleh pasukan Malaysian Battalion (MALBATT) di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersama (PBB) United Nation Interim Force in Lebanon (UNIFIL).

Subscribe to receive free email updates: