Perolehan Multi Role Support Ship Ditangguh ke RMK-13

29 Oktober 2023

KD Mahawangsa MRSS (photo : TLDM)

Perolehan Multi Role Support Ship ditangguh, fokus pembinaan LCS dan LMSB2 – Adly Zahari

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan, perolehan Kapal Sokongan Pelbagai Fungi (Multi Role Support Ship, MRSS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dirancang dalam Rancangan Malaysia ke-13 yang akan bermula pada tahun 2026.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, fokus TLDM pada masa kini lebih tertumpu kepada perolehan kapal Kapal Tempur Persisir, (Littoral Combat Ship, LCS) dan perolehan kapal Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2).

Walaupun mengakui bahawa keperluan pemilikan MRSS itu adalah amat penting, tetapi beliau berkata pihaknya terpaksa menangguhkan perolehan kapal jenis itu untuk memberikan laluan kepada perolehan-perolehan aset lain.

“Dokumen strategi Program Transformasi Armada TLDM 15 to 5 telah memperincikan rancangan perolehan 3 buah kapal MRSS ini dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Ke-13,

“Keperluan MRSS ini adalah amat penting dalam melengkapkan aset Armada TLDM dan bagi memenuhi keperluan operasi ATM melalui kemampuan Strategic Sealift antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, di samping bantuan logistik dan kemanusiaan di peringkat antarabangsa apabila diperlukan,

“Walau bagaimanapun, fokus TLDM pada masa kini lebih tertumpu kepada program peningkatan keupayaan aset kombatan yang lebih kritikal seperti meneruskan perolehan LCS dan perolehan kapal LMSB2,” jelasnya di Dewan Rakyat, pada hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan dari Komander Nordin Ahmad Ismail TLDM (Bersara) (Lumut) yang menyatakan adakah Kementerian Pertahanan akan menilai semula keputusan yang telah dibuat untuk menangguhkan membeli kapal Multi Role Support Ship (MRSS).

Sebelum ini, bekas Panglima Angkatan Bersama (MK AB) Leftenan Jenaral Datuk Indera Yazid Arshad pernah menyatakan bahawa perolehan 2 buah kapal MRSS untuk TLDM tidak boleh tergendala lagi, malah perolehan kapal sedemikian perlu disegerakan.

Menurut beliau, terdapat keperluan yang mendesak untuk TLDM memperolehi kapal MRSS memandangkan usia kapal MRSS sedia ada sudah berusia hampir 40 tahun.

Bagi memantapkan lagi pengoperasiannya, TLDM memerlukan sekurang-kurangnya 4 MRSS dengan 2 buah daripada kapal itu beroperasi di Armada Barat (Lumut) manakala 2 buah kapal selebihnya beroperasi di Armada Timur (Sabah). 

Subscribe to receive free email updates: