6 Radar Baharu Pantau Pantai Timur Sabah dalam Proses Perolehan – Menteri Pertahanan

01 November 2023

Coastal Surveillance System radar (photo : Terma)

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam proses perolehan 6 radar sistem Pemantauan Pesisir Pantai (Coastal Surveillance System, CSS) di Pantai Timur Sabah untuk mengisi kelompongan semasa berikutan terdapat kerosakan pada radar sebelum ini dengan peruntukan RM57 juta.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, 5 radar CSS iaitu AESA SPEXER 2000 telah mengalami kerosakan dan tidak ekonomi untuk dibaiki.

Malah, jelasnya, kesemua radar CSS 2000 tersebut sudah ditanggalkan untuk proses pelupusan.

“Pada masa ini, terdapat 8 radar yang baru sahaja selesai menjalani kerja-kerja naik taraf pada 16 Sept lepas yang melibatkan Radar CSS 1206,

“Bagaimanapun, terdapat 5 Radar CSS AESA SPEXER 2000 telah mengalami kerosakan dan tidak ekonomi untuk dibaiki,

“MINDEF mengenal pasti keperluan bagi menutup sepenuhnya kelompongan ini di kawasan tersebut (Pantai Timur Sabah) dengan melaksanakan perolehan sebanyak 6 radar CSS iaitu 5 penggantian dan sebuah penambahan (radar) baharu,

“Jumlah peruntukan untuk 6 buah radar tersebut adalah sebanyak RM57 juta yang akan diperolehi dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ini,” katanya pada sesi Pertanyaan Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai status pembaikan dan penggantian radar pesisir pantai di Wilayah Sabah.

Radar pertahanan udara jarak jauh (LRR) AN/TPS-77 (photo : Lockheed Martin)

Radar jarak jauh (Long Range Radar)

Sementara itu, beliau berkata, kementerian juga kini dalam proses perolehan 2 pesawat Maritime Patrol Aircraft (MPA) dari Itali yang mempunyai keupayaan untuk mengesan keberadaan kapal selam dalam kawasan Laut China Selatan khususnya di Wilayah Sabah.

“Radar Jarak Jauh (LRR) oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan Udara Tentera Laut Labuan tidak dapat mengesan kapal selam dan hanya untuk meninjau ruang udara yang kini lebih menghala perairan Laut China Selatan yang menjadi ‘sibuk’ sejak kebelakangan ini.

“Kita juga dalam proses perolehan dan telah diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperoleh satu lagi LRR yang kita akan letakkan di kawasan Pulau Layang-Layang kerana di kawasan labuan, ia tidak boleh nampak jauh,

“Jadi, kita perlukan satu lagi radar untuk diletakkan di Pulau Layang-Layang untuk kita melihat lebih jauh lagi supaya ia dapat menjangkau di luar kawasan EEZ (Zon Ekonomi Eksklusif) kita,” ujarnya lagi. 

Subscribe to receive free email updates: