Bajet 2024: MINDEF Fokus Perkasa Aset Pertahanan, Tingkat Keselamatan Sempadan

15 Oktober 2023

TDM akan memperoleh 60 kereta perisai infantri dan 50 HMLTV (photo : Lowyat)

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi penekanan terhadap pelaksanaan beberapa perolehan aset baharu dengan memfokuskan pemerkasaan kedaulatan tanah air disamping terus berusaha memanfaatkan keseluruhan belanjawan 2024 yang diluluskan.

Menerusi kenyataan hari ini, MINDEF memaklumkan, keutamaan dan agenda paling penting melalui Belanjawan 2024 adalah berkaitan perolehan aset, keselamatan persempadanan negara serta kesejahteraan warga pertahanan.

Menurut MINDEF, pihaknya akan memulakan proses perolehan aset-aset baharu bagi mengekalkan tahap keupayaan dan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Belanjawan 2024.

Tentera Darat Malaysia (TDM) jelas MINDEF, bakal memperoleh 60 kereta perisai infantri dan 50 Kenderaan Taktikal Ringan Mobiliti Tinggi (High Mobility Light Tactical Vehicle, HMLTV).

“TDM juga akan dibekalkan dengan 6 ‘Hover Craft Integrated Fast Interceptor’ dan 733 Kenderaan Sokongan Pelbagai Jenis termasuk 45 unit bot pelbagai jenis.

“Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula akan meneruskan perolehan 3 Kapal Misi Pesisir (LMS) dan kerja memasang pulih 2 aset kapal selam,

“Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula bakal menerima perolehan 12 helikopter baharu,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, MINDEF menekankan keselamatan persempadanan negara akan terus dipertahankan dengan mempertingkat kecekapan dan keberkesanan kawalan di pintu-pintu masuk negara.

TLDM akan memperoleh 3 kapal LMS (photo : Daily Sabah)

“Oleh itu, bagi melancarkan keberkesanan kawalan pintu sempadan negara, sebanyak 7 pembinaan Pos Imbangan antaranya di Melikin dan Pa’ Daleh, Sarawak,” jelas MINDEF lagi.

Dalam pada itu, dengan peruntukan yang disediakan, MINDEF berkata, pihaknya akan terus menjaga kesejahteraan anggota dan veteran ATM.

“Kesejahteraan anggota ATM dan veteran akan terus dipelihara dengan menyediakan RM400 juta bagi penyelenggaraan dan baik pulih semua Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT),

“Sebanyak RM20 juta disediakan untuk menaik taraf sistem pembentungan di kem TDM secara berfasa,” katanya.

Tambah kenyataan tersebut, veteran ATM akan terus diperkasa menerusi inisiatif PROTEGE-RTW.

“Program tersebut merupakan penempatan latihan pekerjaan dengan kerjasama syarikat penerima kontrak kerajaan,

“Selain itu, veteran ATM akan mendapat manfaat melalui setiap program kerajaan yang mana kuota khusus akan diberikan seperti program keusahawanan, latihan, pekerjaan dan kemudahan pembiayaan bagi melindungi kebajikan dan sosioekonomi veteran,” ujarnya.

TUDM akan memperoleh 12 helikopter baharu (photo : Helis)

Menurut MINDEF, kerajaan akan menambah bilangan renjer komuniti kepada 2,000 orang dengan melantik renjer daripada kalangan veteran ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Orang Asli dan komuniti setempat.

Hospital Angkatan Tentera (HAT) juga akan turut bekerjasama dengan hospital Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan.

Perkara terakhir yang yang difokuskan oleh MINDEF termasuk bayaran Insentif sejumlah RM1,000 dipanjangkan kepada 216,758 veteran ATM sama ada berpencen atau tidak.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sebanyak RM19.7 bilion diperuntukan untuk MINDEF dalam Belanjawan 2024.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, RM12.67 bilion adalah untuk Peruntukan Mengurus (OE) manakala RM7.05 bilion adalah bagi Peruntukan Pembangunan (DE).

Justeru, MINDEF dan ATM berbesar hati dengan pengumuman Belanjawan 2024 berhubung dengan peningkatan bajet bagi sektor pertahanan.

“MINDEF akan terus menyuntik iltizam dan semangat anggota-anggota ATM untuk sentiasa mempertingkat kesiapsiagaan demi kedaulatan tanah air Malaysia,

“MINDEF dan ATM akan berusaha sedaya upaya agar peruntukan Bajet 2024 dimanfaatkan dengan telus, berhemah serta berintegriti demi sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur,” jelas MINDEF lagi. 

Subscribe to receive free email updates: