Eksesais Malfrench Daggert 2023 (EKS MD23) Tingkatkan Kerjasama Bilateral Pasukan Elit TUDM dan FASF Perancis

25 Oktober 2023

Eksesais Malfrench Daggert 2023 (EKS MD23) (all photos : TUDM)

KUALA ROMPIN – Eksesais Malfrench Daggert 2023 (Eks MD23) yang berlangsung selama 7 hari bermula pada 10 hingga 17 Oktober 2023 kini sampai ke penghujung. Majlis Penutup Eks MD23 ini telah disempurnakan oleh Kolonel Muhammad Mustafa bin Omar TUDM, selaku pemangku Panglima Rejimen TUDM dan juga sebagai Co-Exercise Director (CO-EXDIR) TUDM yang diadakan di Kem Bestari, Kuala Rompin, Pahang. Turut hadir menyaksikan majlis penutup adalah Leftenan Kolonel Hasfa Nyzam bin Abdul Hamid TUDM, Asisten Ketua Staf MPOU-A7 serta para peserta eksesais.


Semasa ucapan majlis penutup, Kolonel Muhammad Mustafa bin Omar TUDM menegaskan bahawa bersedia menghadapi landskap keselamatan global yang sentiasa berkembang, adalah penting bagi negara untuk bekerjasama bagi mengatasi cabaran bersama. Eks MD23 ini juga melambangkan komitmen kedua-dua negara Malaysia dan Perancis ke arah keamanan dunia dan menjadi bukti apabila masing-masing bersatu dan bersepadu, maka segala halangan dapat atasi dan menjadi semakin kuat apabila bergabung.


Eks MD23 ini melibatkan gabungan pasukan elit daripada dua angkatan udara iaitu Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan Commando Parachutiste de l'air no 30 (CPA 30) daripada French Air and Space Force atau Armée de l'air et de l'espace (AAE) menjalani latihan dua (2) fasa bermula dengan fasa Force Integration Training (FIT) di Pangkalan Udara Jugra dan fasa Field Training Exercise (FTX) di sekitar Kuala Rompin, Pahang.


Eks MD 23 ini berjaya mencapai objektif hasil daripada komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh para peserta dan pasukan sokongan. Eksesais ini juga melibatkan kerjasama dan khidmat bantuan daripada pelbagai pihak terutamanya daripada unit di bawah naungan Markas Rejimen TUDM seperti Pangkalan Udara Jugra (PU Jugra), PASKAU dan Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT) serta unit penerbangan pesawat helikopter EC725AP daripada No 10 Skn.

Subscribe to receive free email updates: