TUDM Jalani Program Subject Matter Expert (SMEE) Bersama France Air and Space Force (FASF)

26 Desember 2023

Program SMEE di Orleans, Perancis (photos : TUDM)

Pesawat Airbus A400M daripada No 8 Skuadron milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah selamat mendarat di Pangkalan Udara Orleans, Perancis pada 4 Dis 23 yang lalu. Pesawat merupakan sebuah pesawat Airbus A400M yang baru sahaja selesai menjalani program retrofit di Airbus Final Assembly Line (FAL) di Seville, Spain.

Program SMEE yang diadakan selama 2 hari di Orleans, Perancis telah diketuai oleh Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato’ Wan Amin Hafiz TUDM yang melibatkan TUDM dan France Air and Space Force (FASF). Ketibaan delegasi ini telah disambut oleh Defence Attaché Malaysia di Perancis, Kepten Zainol Ahmad TLDM.


Di hari pertama program ini, delegasi TUDM telah dibawa melawat ke pusat simulator pesawat dan pusat fasiliti latihan bagi anak kapal A400M FASF.  Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan berkenaan kemudahan latihan yang disediakan kepada anak kapal. Hari kedua program diteruskan lagi dengan program SMEE yang bertujuan berkongsi pandangan serta pengalaman diantara TUDM dan FASF. Program SMEE ini telah dibahagikan kepada dua kumpulan di mana kumpulan pertama adalah daripada anak kapal yang terdiri daripada Pegawai Memerintah No 8 Skuadron, Lt Kol Wan Azrul TUDM, Mej Arhamar TUDM, Mej Noor Mohamad Farhan TUDM, Kapt Amir Akmal TUDM, PW Kabeer dan Fsjn Tuan Razali. Bagi kumpulan kedua pula terdiri daripada Pegawai Kejuruteraan diketuai oleh Lt Kol Adli Syarimi TUDM, Mej Muhammad Syafiq Syahmi TUDM, Fsjn Anantha Kumar, Fsjn Mohd Shamri, Sjn U Shahrulhafiz serta Sjn U Latfie Razizi. Turut mengikuti program SMEE ini adalah wakil dari Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) dan Markas Pemerintah Bantuan Udara (MPBU), Lt Kol Rengiah TUDM, Mej Mohd Suzaimi TUDM dan Mej Ahmad Ridwan TUDM.


Pengisian program SMEE disebelah pagi  adalah perbincangan empat mata diantara TUDM dan FASF yang membincangkan penerbangan taktikal, lawatan ke Equipe de Marque Avions de Transport (EMATT) dan Le Centre de Soutien et d’Administrarion des system Mission (CESAM). Anak kapal No 8 Skuadron juga telah di beri peluang untuk menerbangkan Full Flight Simulator (FFS) milik FASF. Selain itu, perbincangan di antara flait kejuruteraan No 8 Skuadron telah dilaksanakan di Escadron de Soutien Technique Aeronautique (ESTA).
Pada sebelah petang, delegasi telah dipertemukan dengan Chief of Air Mobility Brigade FASF, Brig Jen Feola dan Komander Pangkalan Orleans, Kol Gonzales di dalam majlis jamuan makan. Di dalam ucapannya, beliau telah berterima kasih kepada pihak TUDM kerana singgah ke Pangkalan Udara Orleans dan berharap agar hubungan yang terjalin ini dapat merapatkan lagi hubungan di antara FASF dan TUDM.


Pesawat Airbus A400M TUDM telah berlepas dari Pangkalan Udara Orleans pada pagi 6 Dis 23 dan selamat tiba di Pangkalan Udara Subang pada 7 Dis 23. Dengan peluang program seperti ini, No 8 Skuadron  dapat menimba pengalaman dan ilmu yang berharga daripada program SMEE ini secara tidak langsung ianya juga telah merapatkan lagi hubungan di antara TUDM dan FASF.


Subscribe to receive free email updates: