Malaysia, Perancis Meterai Perjanjian Beli Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh

11 Desember 2023

GM400 radar pertahanan udara jarak jauh (photo : opex360)

KUALA LUMPUR – Kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Perancis terus diperkukuh menerusi pemeteraian Surat Setuju Terima (Letter of Acceptance, LOA) dalam membina keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mempertahankan dan melindungi kepentingan negara.

Perjanjian itu adalah diantara Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Syarikat Thales Group bagi Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh (Long Range Air Defence) GM400 kepada Tentera Udara Diraja Malaysia.

Menurut MINDEF, radar tersebut akan ditempatkan di Bintulu, Sarawak bagi memantau kedaulatan ruang udara di pesisiran perairan dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Majlis menandatangani LOA itu disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan bersama Menteri Angkatan Tentera Perancis, Sébastian Lecornu yang telah mengadakan Lawatan Rasmi pertamanya ke Malaysia, hari ini.

Menurut MINDEF, dalam sesi lawatan ini, Mohamad dan Sébastian telah mengadakan sesi perbincangan yang produktif di mana kedua-dua Menteri berpeluang untuk bertukar-tukar pandangan mengenai persekitaran strategik semasa.

“Semasa perbincangan tersebut, kedua-dua Menteri menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam menangani isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kebimbangan bersama,

“Mereka mengesahkan “ASEAN Centrality’ dan mengalu-alukan Perancis sebagai pemerhati dalam struktur lingkungan ADMM Plus,

“Kedua-dua Menteri turut menegaskan kepentingan untuk bekerjasama dalam mengekalkan kesejahteraan Laut China Selatan sebagai perairan yang aman dan stabil serta menjadikannya sebuah laluan perdagangan yang selamat,” jelas MINDEF dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam kenyataan yang sama juga, kedua-dua Menteri turut menggariskan kepentingan kestabilan di Timur Tengah dan mengesahkan komitmen terhadap Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan di mana kedua-dua negara turut serta.

“Sébastian dan Mohamad turut menekankan komitmen mereka untuk meningkatkan lagi kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara khususnya dalam kerjasama ketenteraan dalam bidang sains pertahanan, teknologi dan industri,

“Mereka juga bersetuju untuk melancarkan rundingan Status of Forces Agreement dan meneruskan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Strategik Pertahanan Malaysia – Perancis atau Malaysia-France Defence Joint High Strategic Committee (DJHSC) tahun 2024,” jelas kenyataan itu lagi. 

Subscribe to receive free email updates: