Perolehan 12 Helikopter Baharu TUDM Secara Tender Terbuka Tahun Depan

07 Desember 2023

Helikopter H225M TUDM (photo : TUDM)

PETALING JAYA – Perolehan 12 helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) baharu akan dibuat secara tender terbuka yang dijangka bermula awal tahun depan, kata Panglima TUDM Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Beliau berkata TUDM ketika ini mempunyai 12 helikopter jenis EC725 AP keluaran Airbus dan bagi pembelian helikopter baharu itu, pihaknya akan mempelawa syarikat lain untuk mempamerkan aset yang berkeupayaan melaksanakan tugas mengikut spesifikasi TUDM.

“Saya berhasrat untuk memuktamadkan pembelian helikopter baharu ini sebelum hujung 2024,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM 2023 di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.

Asghar Khan berkata antara kriteria utama dalam pemilihan helikopter baharu itu adalah ia perlu dilengkapkan dengan senjata ringan bagi melaksanakan tugas Mencari dan Menyelamat Tempur (CSAR) selain keupayaan utiliti bagi memenuhi keperluan Operasi Ketenteraan Selain Peperangan (MOOTW) serta Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR)

Beliau berkata perolehan helikopter itu penting bagi menampung jurang keupayaan helikopter sedia ada.

Mengulas mengenai perkembangan terkini proses penerimaan pesawat tempur ringan FA-50M keluaran Korea Aerospace Industries katanya, berdasarkan garis masa perolehan, pesawat itu dijangka diterima secara berperingkat bermula Oktober 2026 hingga Ogos 2027.

“Empat pesawat pertama FA-50M dijadual diterima pada Oktober 2026, manakala selebihnya pada 2027,” katanya.

Beliau berkata perolehan pesawat FA-50M akan dilengkapi dengan persenjataan mengikut keperluan dan peranan sebagai pesawat Jurulatih Utama Pejuang/Pesawat Tempur Ringan yang telah dimuktamadkan dalam kontrak.

Berhubung perolehan Pesawat Peronda Maritim (MPA), Asghar Khan berkata ia kini dalam fasa pembinaan di Leonardo Aircraft Division Plant, di Naples, Itali dan penerimaan dua pesawat pertama dijangka pada Jun 2026.

“Enam pegawai Pasukan Projek Luar Negara Pesawat MPA telah ditempatkan di Turin, Itali sejak Ogos lepas sebagai wakil bermandat bagi pihak kerajaan Malaysia dalam memastikan keseluruhan aspek projek perolehan MPA dilaksanakan mengikut spesifikasi, tatacara, jangka masa dan peruntukan yang telah ditetapkan,” katanya. 

Subscribe to receive free email updates: