Sebahagian Meriam SPH Bakal Diperolehi Tentera Darat Ditempatkan di Sabah

14 Desember 2023

CAESAR New Generation 155mm Self-Propelled Howitzer (photo : Nexter)

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebahagian daripada meriam bergerak 155mm (wheeled Self Propelled Howitzer) yang bakal diperolehi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun depan akan ditempatkan di Sabah, menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bercakap di Dewan Negara hari ini, penempatan meriam bergerak 155mm yang sedang di dalam proses perolehan di Sabah itu akan memperkasakan ketumbukan tentera darat di Sabah.

“Perolehan Self Propelled Howitzer (SPH) kita…, sebahagian daripada SPH itu akan ditempatkan di Sabah untuk kita perkasakan ketumbukan tentera darat kita di Sabah,” kata beliau, sambil menambah, ATM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kawalan keselamatan di negeri terbabit.

Pada ketika ini, tentera darat negara hanya dilengkapi dengan meriam-meriam ditunda (towed howitzer) daripada kaliber 105mm dan 155mm.

Perolehan meriam bergerak SPH 155mm itu sudah semestinya akan meningkatkan lagi kuasa tembakan tentera darat.

Selain itu, kata Menteri Pertahanan lagi, pembinaan Kem Felda Sahabat di Lahad Datu bernilai RM547 juta akan bermula tidak lama lagi dan dijangka siap pada tahun 2027, manakala tender bagi pembinaan baru Kem Paradise di Kota Belud dijangka akan dianugerah pada Sept tahun depan.

MKE Yavuz 155mm Self-Propelled Howitzer (photo : MKE)

Pembinaan baru Kem Paradise bernilai RM584 juta dijangka akan disiap dalam tempoh 36 bulan pada 2027.

Mohamad juga berkata bahawa ATM menerima cadangan daripada ESSCOM untuk menghantar anggota tentera bagi bertugas di pos kawalan di Pulau Ligitan.

“Bagaimanapun kita memohon supaya kerajaan negeri Sabah membina pos kawalan itu supaya kita boleh menempatkan anggota tentera.”

Sementara itu sumber-sumber industri memaklumkan kepada Defence Security Asia bahawa Kementerian Pertahanan sedang menilai lima buah sistem SPH keluaran pelbagai syarikat luar negara untuk dipertimbangkan .

Proses penilaian sistem-sistem SPH yang bersaing masih diperingkat awal dengan keputusan akhir dijangka akan dibuat pada tahun depan.

Namun sumber memberitahu Defence Security Asia bahawa persaingan sengit bagi membekalkan 18 buah meriam SPH 155mm 52cal kepada Tentera Darat adalah diantara “Yavuv”  daripada  Turkiye dan “CAESAR” daripada Perancis.

SPH “Yavuv” 155mm dibangunkan oleh konglomerat pertahanan Turkiye, Makine ve Kimya Endüstrisi A.Ş (MKE) manakala “CAESAR” pula dibangunkan oleh syarikat pertahanan Perancis, NEXTER Systems.

“Persaingan sengit adalah di antara kedua-dua sistem itu.”

See full article DSA

Subscribe to receive free email updates: