TLDM Mahu Peroleh Helikopter Baru

02 Mei 2023

Helikopter Super Lynx Mk300 TLDM (photo : TLDM)

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengoperasikan enam buah helikopter Super Lynx Mk300 sejak tahun 2003 dan pada tahun ini usia helikopter terbabit sudah pun mencecah 20 tahun.

Dalam temuramahnya dengan akhbar Utusan Malaysia yang disiarkan semalam, Panglima TLDM Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, pada ketika ini hanya empat helikopter Super Lynx Mk300 itu masih beroperasi.

“TLDM kini mengendalikan empat daripada enam pesawat (helikopter) untuk operasi peranan maritim bagi menyokong keperluan operasi dan latihan armada.”

“Dua (buah) lagi diletakkan di bawah Penyimpanan Jangka Panjang (LTS) disebabkan tiada sokongan keperluan lojistik pesawat,” menurut Abdul Rahman di dalam temuramah terbabit.

Beliau juga berkata, helikopter Super Lynx Mk300 itu akan digantikan dan ia semestinya akan meningkatkan keupayaan unit udara TLDM bagi operasi tertentu.

Dari segi perolehan kata Panglima TLDM, terdapat kemungkinan angkatan itu mendapatkan helikopter itu menerusi kaedah sewa apabila perkhidmatan helikopter Super Lynx Mk300 yang kini menjangkau usia 20 tahun dihentikan secara berperingkat.

Antara nama-nama helikopter yang berpotensi dipilih oleh TLDM untuk menggantikan Super Lynx miliknya adalah AW159 “Wildcat” yang dibangunkan oleh syarikat Leonardo.

Helikopter AW159 Wildcat merupakan helikopter paling berkemampuan untuk dimiliki, moden dan lincah untuk digunakan bagi misi-misi peperangan anti-kapal selam dan peperangan anti-permukaan di seluruh dunia.

Selain itu, ia juga boleh melaksanakan operasi-operasi Intelligence, Surveillance, Target Acquisition and Reconnaissance (ISTAR), pemintasan maritime dan lain-lain lagi.

Helikopter AW159 Wildcat juga telah dipilih oleh Tentera Laut Korea Selatan dan Tentera Laut Filipina.

See full article DSA

Subscribe to receive free email updates: