Eksport Industri Aeroangkasa Malaysia Diunjurkan RM23.76 bilion Tahun Ini

09 Juni 2023

Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) adalah perusahaan industri berbasis teknologi tinggi Malaysia yang terlibat dalam industri kedirgantaraan dan komposit. Produk utama perusahaan meliputi UAV, aerostruktur komposit, antena satkom, dan radome (photo : Wiki)

Melaka: Nilai eksport industri aeroangkasa Malaysia diunjurkan meningkat kepada RM23.76 bilion tahun ini, sejajar momentum positif industri aeroangkasa.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, nilai itu adalah peningkatan antara 15 hingga 20 peratus berbanding RM19.8 bilion tahun lalu.

Menurutnya, pertumbuhan itu antaranya akan disokong peningkatan tempahan yang diterima syarikat aeroangkasa tempatan pada tahun ini.

"Tahun ini, kita menyasarkan nilai eksport industri aeroangkasa meningkat antara 15 hingga 20 peratus (RM23.76 bilion) berbanding RM19.8 bilion tahun lalu.

"Pada 2021, jumlah dagangan aeroangkasa ialah RM13.8 bilion," katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan baharu 6 (B6) di Composites Technology Research Malaysia (CTRM) Sdn Bhd di Batu Berendam, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Miti Datuk Hanafi Sakri dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Pada sidang media sama, Tengku Zafrul turut mengumumkan kejayaan CTRM sebagai syarikat peneraju teknologi kejuruteraan aeroangkasa dan komposit mengikat kontrak baharu pembuatan komponen Airbus dengan nilai kumulatif RM6.64 bilion bagi tempoh 2022 hingga 2030.

CTRM memproduksi fan cowl yang menutupi mesin pesawat untuk perusahaan penerbangan global (photo : CTRM)

Katanya, kerajaan mengambil maklum impak strategik disumbang CTRM kepada pembangunan industri aeroangkasa negara selaras objektif Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

"Hari ini, saya mengumumkan CTRM dianugerahi kontrak baharu bagi pembuatan atau pengeluaran komponen aero kepada beberapa vendor tahap satu yang membekal kepada syarikat kapal terbang bertaraf global iaitu Airbus.

"Saya pasti, kakitangan CTRM bekerja keras dalam menghasilkan produk bermutu tinggi yang diterima syarikat multinasional seperti Airbus.

"Nilai kontrak baharu CTRM ini adalah RM3.4 bilion bagi tempoh 2022 sehingga 2030, dengan nilai kontrak secara kumulatif adalah RM6.64 bilion," katanya.

Tengku Zafrul berkata, sejajar kontrak baharu itu, CTRM akan menambah tenaga kerja berkemahiran teknikal sebanyak 24 peratus atau 300 hingga 400 orang bagi tempoh 2023 hingga 2024.

"Kontrak baharu itu juga akan meningkatkan perolehan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui rantaian bekalan domestik sebanyak 25 peratus.

"Bagi saya (penganugerahan kontrak baharu), jelas membuktikan syarikat multinasional terkemuka menganggap lanskap industri aeroangkasa negara stabil dan juga kondusif bagi rantaian bekalan mereka, terutamanya di peringkat global.

"Kita juga berbangga CTRM diiktiraf satu daripada lima pembekal global teratas Airbus untuk aerostruktur komposit," katanya.

Subscribe to receive free email updates: