Kementerian Pertahanan Malaysia Meterai Kontrak Tambahan Bagi Pembinaan Kapal LCS

02 Juni 2022
Penanda-tanganan addendum kontrak ke-5 pembangunan 6 buah kapal LCS. Nilai kontrak awal pekerjaan ini adalah RM 9 bio, belum diketahui nilai tambahan kontraknya sekarang, diperkirakan nilai totalnya menjadi RM 10 bio (image : Mindef Malaysia)

Syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd secara rasmi sudah boleh memulakan kerja-kerja pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang telah tertangguh sejak beberapa tahun yang lalu.

Hari ini telah kontrak telah ditandatangani di antara syarikat itu dengan Kementerian Pertahanan sebagaimana dinyatakan dalam kenyataan kementerian itu menerusi akaun media sosialnya.

Kontrak ditandatangani hari ini adalah selaras dengan keputusan oleh Jemaah Menteri pada bulan April lepas yang memutuskan untuk meneruskan projek pembinaan enam buah kapal LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Nilai siling bagi kesemua enam buah kapal perang termoden Malaysia itu adalah RM9 bilion.

Keputusan Jemaah Menteri untuk meneruskan pembinaan enam buah kapal LCS itu telah diumumkan oleh Menteri Pertahahan Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan pada 20 April lepas.

Kabinet memutuskan untuk meneruskan pembinaan kapal perang TLDM yang terbengkalai selama beberapa ketika selepas mengambil kira dua faktor utama.

Faktor pertama adalah LCS adalah aset yang amat diperlukan oleh TLDM.

“Ia bukan sahaja memenuhi perancangan pemodenan TLDM di bawah Transformasi 15 to 5 malah penting untuk meningkatkan kesiap-siagaan pasukan armada kita serta menambahbaik usaha memelihara kepentingan maritim negara.

“Saya percaya keputusan hari ini dapat meningkatkan lagi moral dan semangat anggota TLDM untuk terus berjuang demi kedaulatan tanah air,” katanya.

Gambar terkini kapal LCS (photo : Boustead)

Faktor kedua adalah kerana terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek ini dengan implikasi kewangan lebih RM4 billion.

“Lebih 100 daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia. 90 peratus daripadanya ada hubung kait dengan veteran dan majoriti mereka berada di Lumut, Perak terutama pekerja berkemahiran, pakar serta ahli keluarga mereka,” kata beliau dalam kenyataan itu.
 
Keputusan ini merupakan sebahagian daripada usaha membela kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia, isteri, anak serta ahli keluarga mereka.

“Saya ambil maklum, vendor-vendor ini mengikuti rapat perkembangan usaha menyelesaikan isu LCS ini dan mereka pastinya gembira dengan keputusan ini.

“…dengan keputusan ini, tiada lagi persoalan sama ada perolehan LCS akan diteruskan ataupun tidak. Kini, semua pihak yang berkepentingan boleh bergerak ke hadapan dan fokus untuk menjayakannya,” katanya.

Kelulusan Jemaah Menteri menurut kenyataan Hishammuddin itu hanyalah peringkat permulaan yang baik,namun terdapat beberapa lagi langkah ke hadapan untuk melengkapkan Pelan Pemulihan antaranya ‘Proses Mobilisasi’ dalam tempoh enam bulan mendatang yang akan melibatkan rundingan antara bank, vendor dan pihak OEM.

Tidak terkecuali katanya adalah rundingan dengan pihak Perancis daripada segi reka bentuk dan komitmen Kerajaan Perancis.

Sehingga 31 Oktober 2021, kemajuan pembinaan kapal LCS itu hanya pada tahap 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dalam jadual asal. Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan (3 tahun 7 bulan). 

(DSA)

Subscribe to receive free email updates: