HAL Tejas LCA dengan camo TUDM (image : Perajurit)
Perbincangan empat mata antara Menteri Pertahanan India – Malaysia, Rajnath Singh dengan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Isnin lepas merancakkan lagi perkembangan mutakhir perolehan pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (LCA/FLIT) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Berlangsung secara maya, kedua-dua pemimpin itu membincangkan hal kerjasama pertahanan dua negara dan sudah pasti tidak terkecuali tentang pesawat HAL MK1 Tejas.
Pada perbincangan menerusi sidang video itu, fokus termasuk berhubung penawaran pesawat Tejas bagi program LCA TUDM serta kerjasama penyelenggaraan pesawat Sukhoi Su-30MKM.
Seperti diketahui, India berhasrat menawarkan 18 buah pesawat Tejas bagi memenuhi keperluan TUDM.
Selain pakej kewangan yang menarik dalam perolehan tersebut, tawaran bagi kerjasama senggaraan dan pembekalan alat ganti untuk pesawat Sukhoi Su-30MKM dikatakan sebagai sangat menarik.
Dengan situasi konflik Rusia – Ukraine yang dijangka memakan masa panjang, TUDM perlu mencari negara yang memiliki keupayaan setanding untuk memastikan Sukhoi Su-30MKM terus terbang.
Dalam hal ini, sudah pasti India merupakan negara sahabat yang memiliki jalinan kerjasama sejak dahulu. Tambahan pula, pesawat Sukhoi Su-30MKI India mempunyai konfigurasi menyamai pesawat kita.
Sejak diumumkan beberapa tahun lalu, program perolehan ini telah meletakkan negara dalam radar firma-firma aeroangkasa apabila menawarkan calon menggantikan pesawat-pesawat BAe Hawk dan Aermacchi MB-339CM TUDM.
HAL Mk1 Tejas turut tersenarai antara pilihan TUDM dalam pencarian pesawat LCA dengan keperluan sekurang-kurangnya 36 buah pesawat.
India Berminat Dengan MiG-29N?
India pada 2017 turut menyatakan minat membeli pesawat MiG-29N dengan menaik taraf pesawat itu bagi kegunaan tentera udara negara itu.
Perdana Menteri masa itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan tersebut adalah antara aspek kerjasama ketenteraan yang dipersetujui antara Malaysia – India.
Dalam hal ini katanya, Kementerian Pertahanan dan TUDM akan melihat bentuk kerjasama termasuk pengendalian pesawat tempur Sukhoi Su-30MKM dan peralatan ganti pesawat berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dalam lawatannya ke New Delhi semasa menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India pada 2017 turut membincangkan tentang hasrat kedua-dua negara meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan termasuk mengadakan eksesais ketenteraan udara bersama dan menangani isu keganasan.
Najib dan Perdana Menteri India, Narendra Modi bersetuju mengadakan latihan ketenteraan udara bersama khususnya dalam penugasan taktikal pesawat Sukhoi.
Kedua-dua negara juga berharap dapat meningkatkan kerjasama antara angkatan tentera laut terutama sekali dalam aspek pertempuran kapal selam.
India membeli enam kapal selam Scorpene dari Naval Group di mana empat telah pun beroperasi sejak 2017 dan merupakan negara pengguna terbesar selepas Chile (dua), Malaysia (dua) dan Brazil (empat).
India kini merancang membina 12 buah lagi kapal selam buatan tempatan berdasarkan pengalaman serta penguasaaan teknologi yang diperolehi menerusi program pembinaan Scorpene ini.
Sawit Menjadi Tukaran
Sekiranya tukaran dagang menjadi sandaran, India sebagai negara pengguna minyak sawit terbesar dunia iaitu kira-kira 20% daripada bekalan global ada kelebihan.
Negara itu mengimport komoditi tersebut dari Indonesia dan Malaysia iaitu kira-kira sembilan juta tan setahun. Dalam konteks Malaysia pula, India adalah pengimport minyak sawit terbesar negara diikuti Belanda, Pakistan, China dan AS.
Eksport sawit ke India pada tahun 2020 menyumbang sebanyak RM7.2 bilion dan RM8.9 bilion tahun sebelumnya dengan pendapatan keseluruhan negara hasil minyak sawit pada 2020 adalah RM36.87 bilion.
Bagaimana pun, semua pihak hanya mampu berteka-teki sehinggalah pesawat yang benar-benar menambat hati kerajaan Malaysia dan pemutus keputusannya diumumkan kelak. Sekiranya benar Tejas, ia juga akan membuka lembaran baharu dalam industri aeroangkasa India dan sudah pasti membina jalinan lebih akrab buat Malaysia.
See fill article Perajurit