TUDM Sukses Laksanakan Structural Inspection 33 Tahun (ST33) Pesawat C-130 (M30-08)

09 Februari 2023

Pelaksanaan Structural Inspection 33 Tahun (ST33) Pesawat C-130 (M30-08) TUDM (photos : TUDM)

Penyerahan Pesawat Charlie 130 Hercules TUDM (M30-08) Bukti Kejayaan Kejuruteraan TUDM Laksanakan Senggaraan  Structural Inspection 33 Years

LABUAN –Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya mengorak langkah mewujudkan kembali keupayaan Senggaraan Barisan Kedua (2nd Line Servicing) bagi Kejuruteraan TUDM. Ianya terbukti pada hari ini, dengan berlangsungnya Penyerahan Pesawat C130H (M30-08) yang sempurna menjalani senggaraan Structural Inspection 33 years (ST 33 years) daripada Cawangan Kejuruteraan Pangkalan Udara Labuan kepada No 14 Skuadron yang disaksikan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM.

Turut hadir menyaksikan peristiwa bersejarah ini ialah Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato' Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Dato’ Hj Shamsudin bin Kassim TUDM; AKS P&P, Mejar Jeneral Dato’ Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM; AKS Materiel, Brigedier Jeneral Nor Azmi bin Abd Rahman TUDM dan beberapa Pegawai Kanan TUDM dan anggota TUDM khususnya Cawangan Kejuruteraan.

Ketibaan Panglima Tentera Udara disambut oleh Komander Pangkalan Udara Labuan, Brigadier Jeneral Hj Muhammad Taha bin Hamdan TUDM yang kemudiannya memperkenalkan Team Senggaraan Structural Inspection (ST 33 Years) yang terdiri daripada empat (4) pegawai dan 32 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) daripada No 14 Skuadron, Cawangan Kejuruteraan serta Cawangan Materiel dari Pangkalan Udara Labuan diketuai oleh Mejar Mohd Hanafi bin Zaini TUDM serta Kapten Muhammad Syafiq bin Rossley TUDM yang merupakan Pegawai Kejuruteraan ST-33, Pangkalan Udara Labuan.

Panglima Tentera Udara seterusnya menyaksikan penyerahan pesawat C130H (M30-08) oleh Ketua Cawangan Kejuruteraan, Pangkalan Udara Labuan, Leftenan Kolonel Shahiful Akmar bin Abdul Karim TUDM kepada kepada Pegawai Memerintah No 14 Skuadron, Leftenan Kolonel Mohd Zulazri bin Ibrahim TUDM.

Untuk rekod, Cawangan Kejuruteraan Pangkalan Udara Labuan telah dipilih untuk melakukan penyelenggaraan pesawat di Barisan Ke-Dua (2nd Line Servicing) bagi pesawat C130H secara berperingkat dan progresif buat julung kalinya. Ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang amat penting diberikan oleh pucuk pimpinan TUDM supaya penyelenggaraan ini dapat direalisasikan dengan berjaya.

Pesawat C130H (M30-08) telah dipilih dan merupakan pesawat pertama yang menjalani rawatan Structural Inspection (ST 33 Years) di Cawangan Kejuruteraan PU Labuan. Pelaksanaan Rawatan ST 33 Years ini telah bermula pada tanggal 15 Mac 2021 dan pesawat telah berjaya disiapkan pada 22 Nov 2022 dan termeterai sejarah sebagai bukti kejayaan Kejuruteraan TUDM. Kejayaan ini juga adalah hasil kerjasama yang mampan daripada pihak Markas Tentera Udara, Markas Pemerintahan Bantuan Udara, Markas Wilayah Udara 2 dan juga Pangkalan Udara Labuan.

Pesawat berkenaan juga telah berjaya melaksanakan penerbangan pertama, 1st Functional Check Flight (FCF) pada 22 Oktober 2022 yang menunjukkan keberhasilan dan kejayaan projek ini sekaligus membuktikan bahawa pegawai dan anggota TUDM turut mempunyai kepakaran, kompeten serta mampu bersaing dengan industri luar.

Kejayaan Team ST-33 Years adalah suatu pengiktirafan oleh TUDM dan semoga menjadi pemangkin semangat kepada Bahagian Kejuruteraan TUDM dan anggota untuk terus maju dalam mempertingkatkan dan memperkasakan Cawangan Kejuruteraan TUDM menjadi lebih cemerlang dan terbaik.

(TUDM)

Subscribe to receive free email updates: