LCS Perlu Jalani Pengujian 24 Bulan Sebelum Dibenar Operasi

21 Februari 2023

Kapal Littoral Combat Ship TLDM di Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (photo : Warta Rakyat)

Walau Siap 2024, Kapal LCS Pertama Perlu 22-24 Bulan Lagi Penilaian Lanjut

(DSA) –- Walaupun kapal Littoral Combat Ship (LCS) pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia dijadual siap pada tahun depan, tetapi ia memerlukan kira-kira dua tahun untuk kerja-kerja penilaian lanjut sebelum kapal perang termoden negara itu ditauliahkan ke dalam TLDM, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Maka paling awal kapal LCS pertama itu menjadi milik TLDM secara rasmi adalah pada tahun 2027.

Menteri Pertahanan sebagaimana ketika menjawab soalan tambahan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini berkata, tempoh di antara 22 hingga 24 bulan selepas kapal itu siap dibina diperlukan untuk kerja-kerja penilaian selanjutnya.

Tempoh penilaian hampir dua tahun itu diperlukan sebelum kapal perang tersebut dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

Beliau yang juga dikenali dengan panggilan “Tok Mat” berkata, tempoh penilaian itu dua fasa iaitu di pelabuhan (harbour trial) dan lautan (sea-trial).

Ujian penilaian di pelabuhan adalah untuk menguji kemampuan kapal perang yang baru selesai dibina itu terapung dan juga berlayar.

 “Selepas ujian pelabuhan, kita perlu pula bawa uji kapal LCS ini untuk keluar ujian pengoperasian di laut, ia ambil masa 22 hingga 24 bulan dan barulah kapal akan ditauliahkan.

“Jadi kena ingat, bila kita kata siap itu, maksudnya siap dalam pembinaan di dok kering (dry dock), ujian pelabuhan dan laut,” katanya .

Mohamad Hasan berkata, kapal LCS yang pertama itu kini sedang dalam fasa pemasangan alatan pertahanan, persenjataan dan elektronik.

“Saya sendiri melihat dalam gudang Boustead Naval Shipyard. Kapal pertama, enjin sudah ada dalam badan, kotak gear, gearshaft (aci gear) dan propeler pun dah ada.

“Cuma tinggal pemasangan teras sahaja. Yang lain, kapal ini dibina mengikut blok, semua blok dah dipasang, cuma blok teras tersebut memang dikosongkan untuk memasang blok elektronik kerana kita tidak boleh pasang peralatan itu dulu,” katanya.


Menjelaskan tentang perolehan sistem persenjataan utama bagi kapal LCS itu, kementerian menurut beliau memperolehi Surface to Surface Missile secara terus dengan Original Equipment Manufacturer (Pengeluar Peralatan Tulen) (OEM).

Setakat ini, katanya status perolehan ini berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan, manakala bagi perolehan Surface to Air Missile, ia masih belum dilaksanakan dan bergantung kepada hala tuju perolehan LCS. (DSA)

Menteri Pertahanan: Misil pertahanan udara LCS tunggu kelulusan kabinet

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menyatakan misil pertahanan udara (Surface-to-air Missile, SAM) untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan memerlukan kelulusan oleh pihak Jemaah Menteri.

“Bagi perolehan SAM, belum ada dalam kontrak lagi,” katanya semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menambah, perolehan tersebut akan memerlukan kelulusan kabinet.

“Kita akan buat dan kita akan memerlukan kelulusan kabinet untuk memperolehi dari OEM mana dan jenis,” katanya.

Beliau menambah, perolehan sistem persenjataan lain seperti misil anti permukaan sudah pun dilaksanakan.

“Kita akan lakukan apabila dapat mengenal pasti sistem yang mana yang baik yang terbaik

yang boleh diletakkan di atas LCS tersebut,” ujar beliau.

LCS merupakan salah satu daripada komponen Pelan Transformasi 15-to-5 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Walaupun digelar sebagai LCS, kapal kelas Maharajalela ini disifatkan mempunyai keupayaan setaraf dengan frigat.

Kapal yang dibina berasaskan rekaan Gowind ini dirancang untuk memilik meriam utama 57mm dan 2 laras meriam 30mm.

Selain daripada itu, kapal ini bakal dilengkapi dengan misil anti permukaan NSM dan 2 pelancar torpedo 3-tiub. (AirTimes)

Subscribe to receive free email updates: