Kota Kinabalu - Helikopter Operasi Maritim (HOM) Agusta Westland 139 dengan 'callsign' TANOM 3 kini sah menjadi aset terbaharu yang dioperasikan Skuadron 503. Majlis Penyerahan HOM ketiga ini telah berlangsung di Stesen Udara Kota Kinabalu, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu hari ini.
Dalam majlis ini, Sijil Serah Terima HOM ketiga ini telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan Syarikat Galaxy Aerospace Malaysia (GAM) Sdn Bhd iaitu Dato’ Shamsul Kamar bin Samsudin bersama Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany.
Penyerahan ini telah melengkapkan kontrak perolehan tiga buah helikopter AW139 yang dimeterai oleh Kerajaan Malaysia dan GAM pada 11 September 2020. Perolehan aset udara ini adalah bagi memenuhi keperluan semasa operasi udara TLDM selari dengan misi memperkasa pengawasan maritim Sabah dan Sarawak.
Bagi mengiktiraf dan menghargai kepelbagaian etnik dan semangat kepahlawanan di Negeri di Bawah Bayu ini, ketiga-tiga HOM AW139 telah didaftarkn dengan menggunakan callsign atau nama panggilan ‘TANOM’ yang sinonim dengan pahlawan Murut iaitu Antanom. Malah, Skuadron 503 yang mengoperasikan HOM AW139 turut menggunakan cogan kata ‘Monoluku Momurias’ yang membawa maksud ‘Menjejak Menggempur’ dalam Bahasa Dusun.
Memandangkan kebanyakan aset TLDM masih dihimpit isu keusangan dengan kebanyakan kapal yang sudah berusia melebihi 30 tahun, perolehan HOM AW139 ini dianggap sebagai suatu langkah positif Kerajaan Malaysia bagi memenuhi keperluan operasi semasa TLDM.
(TLDM)