Tentera Darat Malaysia Dalam Proses Penerimaan Sejumlah Aset Baharu

06 September 2023

Kenderaan berperisai Tarantula 4x4 (photo : Mildef)

Tentera Darat laksana perolehan 136 kenderaan berperisai baharu – Panglima

KUALA LUMPUR –  Tentera Darat Malaysia (Tentera Darat) pada ketika ini sedang melaksanakan perolehan tambahan kenderaan berperisai.

Perkara tersebut disahkan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, hari ini.

“ Kita dalam proses membuat penambahan kenderaan berperisai bagi kegunaan Kor Armor Diraja (KAD),

“Ia dilakukan melalui Projek Perolehan 136 Unit Kenderaan Perisai 4×4 dan Infrastruktur,” katanya di sidang media .

Pada masa yang sama, Panglima Tentera Darat menambah tender proses perolehan kenderaan tempur berperisai baharu itu telah diserahkan kepada Kementerian Pertahanan dan dijangka selesai pada Disember 2023.

Terdahulu, Mohammad hadir menyempurnakan perbarisan penghargaan Panglima Tentera Darat ke-29, di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau akan dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM pada 6 Sept 2023.

Tampuk kepimpinan Tentera Darat Malaysia pula diserahkan kepada Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Dalam masa yang sama, Mohamad turut menyatakan Panglima Medan Barat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim akan menjawat jawatan Timbalan Panglima Tentera Darat.

Helikopter UH-60M Black Hawk (photo : US DoD)

Sementara itu, Mohamad mengesahkan proses pemindahan AV8 Gempita telah dilaksanakan bermula 2 September 2023.

Menurut Panglima Tentera Darat, pemindahan ini adalah seiring dengan Kertas Putih Pertahanan dan Pelan Pembangunan Strategik Tentera Darat (Army 4NextG) 2021-2050.

“Tentera Darat telah merancang untuk melengkapkan Kenderaan Perisai di dua wilayah melibatkan Malaysia Barat dan Malaysia Timur,

“Ini bagi melaksanakan tugas dalam persekitaran geostrategik pelbagai domain secara serentak sejajar dengan rancangan transformasi Tentera Darat sebagai Angkatan Masa Hadapan,” katanya. (AirTimes)

Tentera Darat dijangka terima dua helikopter Black Hawk hujung tahun ini

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) dijangka menerima dua buah helikopter jenis Sikorsky UH-60 Black Hawk seawal hujung tahun ini.

Panglima Tentera Darat, Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, pengangkutan udara dari Amerika Syarikat itu bakal digunakan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

“Proses perolehan Helikopter Black Hawk telah selesai, jadi dijangka Disember atau Januari (tahun depan) kita akan terima dua buah dahulu.

“Justeru, kita juga akan menghantar juruterbang untuk membuat latihan menggunakan simulator untuk mengendalikan Black Hawk. Mereka akan dihantar ke Turkiye pada Oktober ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat Ke-29 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Menurut Mohammad, penerimaan helikopter tersebut akan dibuat secara berperingkat dan dikendalikan sepenuhnya oleh juruterbang TDM.

Difahamkan, Malaysia dijangka memperoleh empat buah helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk dari Amerika Syarikat (AS) secara berperingkat.

Self Propelled Howitzer 155mm Yavuz buatan MKE Turkiye (photo : MKE)

Proses SPH 155mm Yavuz buatan Turkiye

Dalam perkembangan lain, Mohammad memberitahu, Kementerian Pertahanan sedang melaksanakan dokumentasi tender perolehan 18 meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) model 155mm Yavuz buatan Turkiye yang dijangka selesai pada Disember ini.

Jelas beliau, perolehan sistem persenjataan itu turut mencakupi kenderaan-kenderaan dan insfrastukturnya.

“Memang betul kita (Tentera Darat) sedang dalam proses perolehan beberapa sistem persenjataan bagi mengukuhkan lagi tahap kesiapsiagaan.

“Perolehan sistem meriam artileri jenis 155MM Yavuz Self Propelled Howitzer (SPH) buatan Turkiye antara projek perolehan yang menjadi keutamaan Tentera Darat dalam meningkatkan keupayaan elemen kuasa tindakan dan kesiagaan pasukan Rejimen Artileri Diraja.

“Perolehan ini melibatkan sebanyak 18 buah Meriam artileri SPH 155MM Yavuz dan sekarang ia berada dalam proses pelaksanaan dokumentasi tender oleh Kementerian Pertahanan,” katanya. (Kosmo)

Subscribe to receive free email updates: