Kerajaan Digesa Segera Dapatkan F/A-18 Hornet Kuwait

04 Maret 2023

F/A-18D Kuwait Air Force (photo : Raymond van Dijkhuizen)

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz menyeru kerajaan untuk berunding dengan Kuwait bagi memperolehi lebihan aset pesawat F/A-18 Hornet mereka yang bakal dilucut tauliah dalam masa terdekat.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa Perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Jelasnya, perolehan aset pesawat F/A-18 Hornet daripada Kuwait ini akan membantu menutup kelompongan aset udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sehingga tahun 2030.

“Dengan mengambilkira gangguan bekalan alat ganti pesawat Sukhoi 30MKM dari Rusia akibat perang di Ukraine dan juga pemberhentian operasi pesawat MiG29N,

“Saya rayu supaya Kementerian Pertahanan (MINDEF) berusaha mendapatkan sekurang-kurangnya 8 hingga 10 buah pesawat Hornet Kuwait bagi melengkapkan sekurang-kurangnya 1 skuadron penuh pesawat tempur jenis ini dibawah TUDM,

“Tambahan lagi maklumbalas yang saya terima, anggota TUDM sangat berpuas hati dengan prestasi pesawat ini walaupun ianya sudah hampir 30 tahun digunakan,” jelasnya lagi.

Menurut Ikmal Hisham, dengan melengkapkan 1 skuadron penuh pesawat Hornet TUDM, ia akan membantu dalam pelaksanaan operasi harian mereka temasuk kawalan zon maritim sementara menunggu pesawat LCA dari Korea Selatan mula beroperasi pada tahun 2026.

Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah turut mengucapkan tahniah kepada MINDEF di atas keputusan terkini untuk memuktamadkan perolehan aset udara Flight Lead in Trainer – Light Combat Aircraft (FLIT – LCA) untuk TUDM.

“Saya percaya keputusan untuk memilih pesawat KA-50 dari Korea Selatan ini telah dibuat secara rapi dan teliti oleh pihak TUDM sendiri,

“Keputusan ini juga tepat mengambil kira keperluan semasa dan kesinambungan aset-aset sedia ada yang digunakan oleh TUDM terutama pada enjin General Electric jenis blok F404 yang juga digunakan pesawat pesawat F/A-18 Hornet sedia ada TUDM,

“Tambahan lagi persenjataan yang boleh dipasang pada pesawat KA-50 ini boleh diintegrasikan daripada peluru berpandu pesawat Hornet TUDM sedia ada, termasuk latihan ground crew, kemudahan hangar dan situasi ini akan menjimatkan lagi perbelanjaan wang awam,” ujarnya.

Subscribe to receive free email updates: