Pentauliahan kenderaan 4x4 Ejder Yalçin sebagai Panthera di Nurol Makina, Ankara (photos : TDM)
ANKARA - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain telah menghadiri Sesi Pengesahan Rektifikasi Kenderaan Perisai (KP) 4 x 4 Armoured Personnel Carrier (APC) untuk kegunaan MALBATT 850 di Nurol Makina ve Sanayi A.S, Ankara.
Setelah selesai pengesahan rektifikasi, PTD turut menyempurnakan sesi mentauliahkan First Unit Vehicle (FUV) 4 x 4 APC tersebut sebelum syarikat meneruskan pembikinan kenderaan untuk Tentera Darat di Kompleks Pengilangan dan Pengeluaran Nurol Makina ve Sanayi A.S, Ankara.
Bagi menzahirkan rasa bangga dikalangan warga Tentera Darat dalam mengoperasikan KP tersebut, KP 4x4 APC telah dijenamakan dengan nama KP 4x4 PANTHERA. Nama PANTHERA atau nama saintifiknya PANTHERA PARDUS dipilih kerana haiwan ini dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam pelbagai habitat di seluruh dunia dan merupakan pemangsa yang pintar sesuai dengan KP ini yang boleh diaturgerak dalam semua keadaan.
Perolehan aset kenderaan sebegini dapat meningkatkan lagi tahap kesiagaan ketumbukan MALBATT yang bertugas sekaligus mengukuhkan hubungan kerjasama pertahanan di antara Malaysia dan Turkiye yang seiring dengan Tonggak Keempat Perintah Ulung PTD Ke-28, "Pengukuhan Hubungan Pertahanan" yang menumpukan kepada kerjasama dua hala serantau dan antarabangsa.
(TDM)