BHIC Asia Dapat Lanjutan Kontrak Meriam Bofors 40MM/L70 TLDM

02 Januari 2024

Meriam Bofors 40MM/L70 Gun TLDM (photo: Shutterstock)

KUALA LUMPUR  –  Syarikat usahasama milik Boustead Heavy Industries Corporation, BHIC Bofors Asia Sdn Bhd (BBA) menerima lanjutan kontrak dengan Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk meriam Bofors 40MM/L70 Gun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

BBA ialah usaha sama antara BHIC Defence Technologies Sdn. Bhd. (51 peratus) dan BAE Systems Bofors Holdings Sdn. Bhd. (49 peratus).

Lanjutan kontrak selama dua tahun lagi hingga 31 Disember 2025 ini melibatkan pembekalan dan penghantaran alat ganti, penyelenggaraan dan latihan untuk senjata tersebut.

Nilai siling kontrak itu adalah sehingga RM21 juta.

Boustead Heavy Industries Corp Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia menyatakan,

pelanjutan ini menandakan perkongsian berterusan antara BBA dan Mindef  mengukuhkan komitmen mereka terhadap keupayaan operasi TLDM.

BBA menerima surat penerimaan (LOA) untuk pembekalan dan penghantaran alat ganti, penyelenggaraan dan latihan untuk Bofors 40MM/L70 Gun TLDM pada Disember 2020.

Ia diperbaharui untuk tempoh tiga tahun pada 1 Januari 2021 hingga 31 Dis 2023.

Meriam Bofors 40MM/L70 Gun merupakan persenjataan pertahanan udara aras rendah yang dibangunkan oleh firma AB Bofors Sweden (kini BAE System Bofors) sejak tahun 1946.

Ia merupakan senjata pertahanan udara yang terbaik dalam kelasnya dan digunakan lebih 50 negara sama ada di kapal atau darat.

TLDM mula mengoperasikan meriam-meriam ini pada bot-bot peronda dan kapal serangan laju sejak tahun 1965.

Meriam Bofors 40mm/L70 Gun pada Jerong class fast attack craft (photo: TLDM)

Meriam yang dikendalikan secara manual ini lebih ringkas kerana tidak mempunyai sistem elektronik atau optik yang rumit.

Bagaimana pun, jumlah meriam Bofors 40MM/L70 Gun yang dioperasikan TLDM kini semakin berkurangan kerana kebanyakan kapal-kapal perang utama pasukan itu beralih kepada meriam Bofors  57mm dan Oto Melara 76mm.

Sebagai senjata kedua pada kapal-kapal peronda lama TLDM, keberkesanan meriam Bofors 40mm ini memang tidak perlu dipertikaikan.

Dengan jarak sasaran sehingga 3km, tembakan yang dimuntahkan oleh meriam ini masih mampu menggerunkan musuh seperti bot nelayan asing, penyeludup atau penjenayah yang cuba menceroboh perairan negara.

Ia juga berkesan untuk melepaskan tembakan pada sasaran bumi atau di daratan.

Tahun lalu, Mindef telah menganugerahkan kontrak bernilai RM15.7 juta kepada anak syarikat BHIC  bagi membekal dan menyerahkan meriam Bofors kepada TLDM.

Kontrak adalah untuk bekalan dan penyerahan alat ganti, penyelenggaraan dan latihan untuk meriam Bofors 57MM/L70 bermula 1 September 2022 hingga 31 Ogos 2025.

Meriam-meriam Bofors 57mm ini digunakan pada kapal seperti frigat kelas Lekiu, termasuklah pada lima kapal LCS yang masih dalam pembinaan.

Kapal LCS jika siap kelak juga akan dipasang dengan selaras meriam Bofors 57mm selain dua laras meriam kaliber kecil MSI DS30M 30mm. 

Subscribe to receive free email updates: