Naval Group Jamin LCS Siap dalam Masa Ditetapkan

24 Oktober 2022

KD Maharajalela kapal LCS pertama (photo : Benarnews)

SHAH ALAM - Naval Group memberi jaminan akan memastikan projek kapal tempur pesisir (LCS) siap sepenuhnya dalam masa yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengarahkan agar pasukan Mindef, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berbincang secara bersemuka bagi melancarkan lagi proses rundingan dengan pihak berkepentingan khususnya di Eropah.

Menurutnya, Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob; Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman dan beberapa lagi pegawai tertinggi telah melakukan lawatan kerja ke Euronaval di Perancis.

“Pihak Naval Group juga bersetuju untuk meneruskan rundingan dengan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) berhubung harga,” katanya.

Ujar kenyataan itu, langkah tersebut merupakan perkembangan yang amat signifikan dan positif dalam projek LCS, sekali gus berupaya memeprkukuh lagi usaha semua pihak khususnya Malaysia.

Jelasnya, ia bagi memastikan projek LCS dapat diteruskan semula dengan sebaik mungkin selari dengan syor beberapa pihak berkepentingan termasuk jemaah menteri, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

“Ia juga menunjukkan fasa mobilisasi berjalan lancar dan semua pihak berkaitan melaksanakan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin.

“Dengan perkembangan tersebut, dijangka semua rundingan akan dapat dimuktamadkan pada penghujung Disember ini.

“Pihak Mindef akan terus memaklumkan perkembangan projek LCS ini kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya.

Subscribe to receive free email updates: