CYBERJAYA – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilaporkan membubarkan unit Pasukan Pertahanan Udara (PPU), selepas enam tahun beroperasi.
Pembubaran itu dimuktamadkan secara rasmi dalam satu upacara di Serambi Markas Pemerintahan Armada Timur di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi milik Markas Pemerintahan Armada Timur, pembubaran itu adalah seiring dengan kesesuaian keperluan operasi semasa.
“Pasukan ini telah dibubarkan daripada perkhidmatan TLDM setelah enam tahun pengoperasian seiring dengan kesesuaian keperluan operasi semasa,” kata hantaran itu tanpa mengulas lanjut.
Simbolik pembubaran, Panglima Armada Timur telah menurunkan insignia pemerintahan daripada Pegawai Memerintah PPU yang terakhir, Leftenan Komander Johari bin Mat Yusof TLDM.
Terdahulu, PPU TLDM telah melaksanakan penyerahan aset miliknya, iaitu sistem Starstreak kepada Tentera Darat Malaysia sekitar April lalu.
Berikutan itu, sistem pertahanan udara VSHORAD tersebut kini dioperasikan sepenuhnya oleh Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).