Tentera Darat Malaysia bakal menerima 7 tank Pendekar PT-91M dan 31 kenderaan perisai Gempita 8x8 (photo : Lowyat)
8 teras hala tuju MINDEF dimuktamadkan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) memuktamadkan lapan teras utama menerusi Pelan Tindakan 2022 (PT22) bagi menyelaraskan dasar dan hala tujunya.
Teras berkenaan ialah Kebajikan, Kesiagaan dan Keupayaan, Kompetensi Pertahanan, Kerjasama Awam-Tentera, Industri Pertahanan Nasional, Kerjasama Pertahanan Antarabangsa, Pemerkasaan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kesiagaan Terhadap Krisis Berskala Besar.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata teras itu hasil cadangan, pandangan dan pertimbangan beliau, Ketua Setiausaha (KSU) MINDEF, Datuk Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta warga kementerian.
"Untuk tahun ini, kita sudah mempunyai perancangan yang rapi di bawah Pelan Tindakan 2022 atau PT22. Saya tahu saudara-saudari tidak kira yang berceloreng hijau, biru, putih mahupun yang memakai baju biasa sebagai warga MINDEF serta pemain industri terbabit secara langsung dalam menggubal PT22 ini.
"Hari ini kelapan-lapan teras berkenaan dimuktamadkan. Kalau saya tidak sebutkan hari ini, saudara-saudari sepatutnya sudah tahu dan berbangga bahawa PT22 adalah hasil buah fikiran, cadangan, pandangan, pertimbangan saya, KSU, PAT dan warga MINDEF semua," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Perwira, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Muez dan Affendi.
Hishammuddin berkata, MINDEF dan ATM akan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk membina lima poliklinik baharu menjelang 2024 bagi menambah baik perkhidmatan kesihatan untuk anggota serta veteran tentera.
Katanya, kementerian juga akan memperkasakan lagi inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang dilaksanakan bersama Indonesia dan Filipina sejak 2017 demi memperkukuh kawalan keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi.
"MINDEF akan menyerahkan lebih banyak unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) kepada anggota ATM yang terpilih di seluruh negara.
"Ini agenda peribadi saya untuk membela kebajikan anggota ATM terutama di era pandemik COVID-19 yang amat mencabar ini," katanya.
Tambahan Aset
Sementara itu, Hishammduddin berkata, Tentera Darat Malaysia (TDM) bakal menerima tujuh unit Kereta Kebal Pendekar berserta 31 unit Kenderaan Perisai 8X8 Gempita pada bulan ini bagi memperkukuhkan keupayaan TDM.
Katanya, bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula, Kapal Misi Pesisir (LMS) RENCONG yang juga LMS keempat negara bakal ditauliahkan pada 28 Januari ini, manakala tiga helikopter Operasi Maritim AW 139 akan diperoleh pada Mac.
"Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula akan meningkatkan keupayaan Pesawat Pengawasan Maritim (MSA) ke atas tiga pesawat CN235-200, meningkatkan keupayaan pesawat F/A18D melalui program Service Life Extension (SLEP) dan meningkatkan keupayaan pesawat Airbus A400M melalui pendekatan Retrofit New SOC 2.5," katanya.
Selain itu, Hishammudin memaklumkan kerajaan sedang meneliti projek tergendala di bawah MINDEF seperti perolehan Littoral Combat Ship (LCS) dan Helikopter MD530G bagi kegunaan tentera.
"Perancangan ke hadapan adalah menyediakan opsyen Pelan Pemulihan Projek LCS, mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan pembentangan kepada pelan pemulihan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
"Saya bersama KSU akan menghadap Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak lama lagi bagi menjelaskan secara terperinci perancangan kita berkaitan LCS. Saya beri jaminan bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan," katanya.