Latihan Perang Pangkor Siri 17/22 Bukti Kompetensi Warga Armada Barat di Tahap Tertinggi
Menerusi latihan berkala iaitu latihan Perang Pangkor siri 17/22 warga TLDM di
Armada Barat terus membuktikan tahap kompetensi bagi menjayakan pelaksanaan latihan kesiagaan yang melibatkan aset pertahanan maritim iaitu KD MAHAWANGSA, KD LEKIU serta aset sokongan iaitu Fast Combat Boat TLDM yang berlangsung di perairan Selat Melaka semalam.
Latihan Perang Pangkor ini juga adalah merupakan salah satu langkah tindakan show of force di perairan Selat Melaka bagi memperagakan aset pertahanan maritim secara berterusan malah ia secara tidak langsung memberi impak positif kepada komuniti maritim dalam meningkatkan keyakinan terhadap kemampuan dan komitmen TLDM amnya dan Armada Barat khasnya bagi mengekalkan kestabilan dan tahap keselamatan perairan negara. (TLDM)
Armada Barat Pamer Ketangkasan dan Kesediaan Aset Menerusi Latihan Perang Pangkor Siri 18/22
Tahap ketangkasan dan kesediaan aset TLDM khususnya di Armada Barat terus dipamer menerusi Latihan Perang Pangkor siri 18/22 yang berlangsung semalam, 28 April, di sekitar perairan Selat Melaka. Latihan yang merupakan inisiatif berterusan ini dilaksanakan bertujuan bagi memperkasa tahap kesiagaan dan keupayaan armada serta warganya dalam melaksanakan tugasan teras di lapangan.
Siri latihan pada kali ini telah disertai dua aset TLDM iaitu KD BADIK dan KD KINABALU serta disokong oleh Fast Combat Boat (FCB). Selain menguji tahap kompetensi warga dan kesiagaan Armada, latihan ini merupakan salah satu medan bagi menilai tahap kecekapan warga Armada TLDM dalam konteks peperangan maritim. Ia juga secara langsung mempamerkan komitmen berterusan TLDM dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan Zon Maritim Malaysia sentiasa terjamin dan terpelihara dari sebarang anasir atau ancaman menerusi tindakan cegah rintang yang pantas dan berkesan.
Secara keseluruhannya, latihan Perang Pangkor kali ini telah mencapai sasaran objektif yang telah ditetapkan. Latihan secara berkala ini akan tetap diteruskan dan sentiasa ditambahbaik dan segala cabaran yang mendatang akan sentiasa ditempuh demi memastikan kelangsungan latihan dapat direalisasikan. (TLDM)