Kuala Lumpur: Kabinet yang bermesyuarat hari ini dengan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebulat suara memuktamadkan supaya projek perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) diteruskan.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira dua faktor utama iaitu LCS adalah aset yang amat diperlukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan terdapat 400 vendor terbabit dalam projek tersebut dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion.
"LCS sememangnya aset yang amat dimahukan dan diperlukan oleh TLDM bukan sahaja untuk memenuhi perancangan pemodenan TLDM di bawah Transformasi 15 to 5 malah penting untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan armada kita serta menambah baik usaha memelihara kepentingan maritim negara.
"Saya percaya keputusan hari ini dapat meningkatkan lagi moral dan semangat anggota TLDM untuk terus berjuang demi kedaulatan tanah air," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai vendor yang terbabit, Hishammuddin berkata, lebih 100 daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia dengan 90 peratus ada hubung kait dengan veteran ATM.
LCS adalah sebahagian daripada pelan pembangunan 15-to-5 TLDM bagi memperkemas aset angkatan laut negara dan kesemua enam kapal yang dirancang adalah berasaskan rekaan Gowind oleh syarikat Perancis iaitu Naval Group (dahulu dikenali sebagai DCNS).
Hishammuddin juga berkata, terdapat beberapa lagi langkah yang perlu diambil oleh kerajaan termasuk mengadakan rundingan dengan pihak bank, vendor dan pengeluar peralatan asli (OEM) serta kerajaan Perancis membabitkan reka bentuk dan komitmen kerajaan negara terbabit.
"Dalam masa yang sama, agensi lain yang berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga digesa untuk mempercepatkan peranan masing-masing bagi memastikan setiap proses yang perlu dilalui berjalan lancar," katanya.
Beliau berkata, Kabinet juga bakal menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan bagi memantau proses projek LCS dalam tempoh enam bulan akan datang serta melaporkan perkembangannya kepada Kabinet setiap bulan.
"Saya juga ingin tegaskan keputusan meneruskan projek LCS tidak bermakna pihak yang terbabit salah laku dalam projek sebelum ini akan terlepas begitu sahaja. SPRM menahan reman dua CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) sebelum ini dan SPRM juga digesa untuk mempercepatkan siasatan.
"Siapa jua yang bersalah pasti akan dihadapkan ke muka pengadilan," katanya sambil menambah perincian lanjut mengenai bagaimana projek itu diteruskan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
(Metro)