Juruterbang PUTD Jalani Latihan Kendali Black Hawk di Turkiye

30 Desember 2023

Pilot PUTD latihan dengan menggunakan simulator Black Hawk di Turkiye (photo : PUTD)

KUALA LUMPUR – Seramai 3 orang juruterbang Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan seorang dari syarikat AEROTREE telah melaksanakan Program Latihan Kajian Bawah (Ground School) dan Latihan Simulator Sikorsky UH-60A Black Hawk di Ankara, Turkiye.

Latihan yang bermula sejak 2 hingga 16 Disember lalu ini telah diadakan di Havelsan Simulator Training Centre, Ankara.

Kumpulan pertama ini terdiri daripada 2 Jurulatih Penerbangan Helikopter (Qualified Helicopter Instructor – QHI), dan 2 Pembantu Juruterbang.

Menurut PUTD, latihan penerbangan simulator ini dilaksanakan sebagai persediaan kepada Juruterbang Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD bagi persiapan penerimaan pesawat baru.

“Latihan ini telah dilaksanakan selama 2 minggu melibatkan latihan kajian bawah helikopter dan latihan penerbangan simulator helikopter Sikorsky UH-60A Black Hawk,

“Latihan kajian bawah meliputi latihan sistem pesawat seperti UH-60A Aircraft System, Emergency Procedure, Performance Planning dan Mission Planning,

“Latihan simulator ini meliputi Startup and Shutdown Procedure, Normal Procedure, Emergency Procedure, Instrument Flying dan Mission Flying,” jelas PUTD.

September lalu, Tentera Darat Malaysia (TDM) dijangka menerima 2 daripada 4 buah helikopter jenis Black Hawk pada penghujung tahun ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman sebelum ini pernah menyatakan, pesawat buatan Amerika Syarikat berkenaan akan digunakan oleh PUTD dan pihaknya akan menghantar juruterbang ke Turkiye untuk menjalani latihan simulator Black Hawk sebelum helikopter itu dibawa ke Malaysia. 

Subscribe to receive free email updates: