Perolehan F/A-18D dari Kuwait Masih Dibincang

13 Desember 2022

F/A-18D Hornet AU Kuwait (photo : Alanba)

KUALA LUMPUR: Perbincangan mengenai program peningkatan keupayaan pesawat tempur F/A-18D (Hornet) oleh Kementerian Pertahanan masih pada peringkat awal.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata pihak kementerian masih berminat mendapatkan aset udara dari Kuwait dan perbincangan sedang dilakukan termasuk membabitkan isu dakwaan aset itu sebagai 'second hand'.

"Saya sudah bangkitkan di Parlimen mengenai usaha meningkatkan keupayaan pertahanan negara dan kita berminat mendapatkan F/A-18D.

"Kita sedang cuba mendapatkan aset yang (mempunyai nilai) lebih tinggi. Jika masih boleh digunakan, ia bagus," katanya selepas melancarkan program Kerjaya Ekonomi Gig untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini, hari ini.

Sebelum ini, di Dewan Negara, Ikmal Hisham berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah merangka program peningkatan keupayaan pesawat tempur F/A-18D (Hornet) dan kini dalam proses mendapatkan sejumlah pesawat tempur dari Kuwait.

Katanya, perolehan dirancang itu membabitkan 33 pesawat F/A-18C/D Tentera Udara Kuwait yang masih dalam keadaan baik dan mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.

Beliau berkata, Kerajaan Kuwait dijangka melucut tauliahkan pesawat F/A-18C/D selepas menerima dan mengoperasikan pesawat terbaru F/A-18E/F (Super Hornet) yang lebih moden dan kini dalam proses penghantaran oleh syarikat Boeing dari Amerika Syarikat

"Namun inisiatif ini masih menunggu perbincangan antara kedua-dua negara atau di peringkat kerajaan dengan kerajaan. Sekiranya inisiatif ini berjaya direalisasikan, sudah pasti ia akan meningkatkan tahap kesiagaan dan keupayaan TUDM dalam menjaga ruang angkasa negara," katanya.

Subscribe to receive free email updates: