TLDM Bakal Terima 5 Bot RHIB, 3 Helikopter Pada Tahun Ini

17 Januari 2022

Bot RHIB TLDM (photo : Kosmo)

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal menerima 5 buah Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dan 3 helikopter Operasi Maritim (HOM) bagi mempertingkatkan keupayaan armada TLDM dalam memenuhi keperluan operasi, khususnya operasi menyelamat.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dalam perutusan tahun baharu 2022 berkata, 3 buah HOM tersebut kini berada dalam fasa akhir pembinaan dan akan diterima pada pertengahan tahun ini.

Beliau menjelaskan, tahun 2021 telah menyaksikan kejayaan yang membanggakan dimana, TLDM telah menerima kesemua 4 kapal Littoral Mission Ship (LMS) iaitu KD SUNDANG, KD BADIK dan terbaharu RENCONG yang diterima pada 18 Disember tahun lalu.

“Dengan penerimaan LMS keempat RENCONG pada 18 Disember yang lalu, TLDM telah berjaya memperoleh kesemua 4 kapal LMS yang dibina di China sejak tahun 2017,

“Dijangka pentauliahan RENCONG akan dilaksanakan pada 28 Januari tahun ini,” jelasnya menerusi Perutusan Tahun Baharu 2022 yang disarkan secara maya pada hari ini.

Selain itu, beliau turut menjelaskan, pihaknya telah menerima 6 buah Fast Combat Boat (FCB) dan juga 3 buah Multi-Purpose Boat (MPB) bagi meningkatkan keupayaan khususnya terhadap platform pemintas yang amat diperlukan ketika melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) bagi mengawal sempadan perairan negara.

Mohd Reza turut menjelaskan, pihaknya akan terus memberi keutamaan terhadap 4 teras Utama Hala Tuju Kepimpinan TLDM yang telah digarapkan iaitu:

1. Mengekalkan Keutamaan Kepada Kesiagaaan Armada TLDM. Barisan kepimpinan TLDM akan terus berusaha memastikan segala perancangan peningkatan kesiagaan dapat dilaksanakan dan mendapat sokongan terutamanya daripada pihak kerajaan agar kita mampu beroperasi seperti yang diperlukan.

AW-139 helicopter (photo : Key Aero)

2. Kedua, Meneruskan Kelangsungan Pembangunan Armada TLDM Sesuai Perancangan Program Transformasi TLDM 15to5. Bagi menentukan kesinambungan Transformasi TLDM diteruskan, beberapa projek dirancang dilaksanakan pada tahun 2022 seperti:

• Perolehan 13 buah Fast Combat Boat (FCB).
• Perolehan kelengkapan sub-sistem persenjataan anti-permukaan dan anti-kapal selam.
• Perolehan 3 x Fire Control System.
• Perolehan 4 x Compression Chamber.
• Pembangunan Pusat Latihan Udara TLDM (PLUT) di Sitiawan.
• Penggantian pelbagai kenderaan TLDM.
• Pembinaan bangunan tambahan Wisma Laskar di PTKK.
• Pembinaan pagar keselamatan di KD SRI SEMPORNA

3. Memperkasakan Integrasi dan Sokongan Kepada Aspek Kebersamaan. Aspek ini boleh diperkasakan melalui pelbagai kaedah seperti mempertingkatkan pelaksanaan eksesais. Pada tahun ini, kita bakal menyertai eksesais berskala besar seperti Eksesais RIMPAC, Eksesais MILAN, Eksesais KAKADU, Eksesais BERSAMA SHIELD serta beberapa eksesais lain yang dirancang diadakan di dalam dan luar negara.

4. Meneruskan Penyediaan Modal Insan Terbaik untuk Memenuhi Keperluan Masa Hadapan. Bagi memenuhi keperluan ini, kompetensi warga the Navy People khususnya Pegawai Muda perlu terus ditambahbaik. Aspek kompetensi ini amat-amat penting dan perlu diberi perhatian sewajarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, kepimpinan TLDM perlu merancang setiap latihan dengan teliti, spesifik dan menyeluruh sesuai dengan perkembangan teknologi supaya mampu mencapai standard yang diingini.

Tegasnya, barisan pemerintah disaran untuk sentiasa ‘turun padang’ bagi memantau kompetensi warga masing-masing.

“Jangan kita biarkan generasi TLDM akan datang ini bergerak tanpa bimbingan yang sewajarnya,

“Bagi memperkemaskan keempat-empat keutamaan tersebut, fokus diberikan dalam menambah baik sistem tadbir urus dan pembangunan polisi serta doktrin,

“Peta Strategik 2021- 2025 (PS 2125) perlu dijadikan sebagai panduan utama untuk mengukur, menggerak seterusnya memacu TLDM ke arah kecemerlangan,” tambahnya. 

Subscribe to receive free email updates: