ATM Terima Peruntukan Kewangan RM15.4bilion Tahun Ini

25 Januari 2022

Latihan Angkatan Laut Malaysia (photo : TLDM)

KUALA LUMPUR – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM hari ini mengesahkan Angkatan Tentera Malaysia telah menerima peruntukan kewangan sebanyak RM15.4bilion pada tahun 2022.

Beliau menyatakan perkara tersebut dalam Perutusan Tahun Baru 2022, hari ini.

“Pada tahun ini peruntukan kewangan yang disalurkan kepada ATM bagi Pertahanan Negara adalah sebanyak RM15.4bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM0.4bilion (RM400juta) berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Menurut Affendi, walaupun terdapat peningkatan, ATM masih perlu berhemah dan rasional dalam melakukan perbelanjaan.

“Manfaatkan sebaik-baiknya peruntukan yang telah diberi dan cuba melihat secara holistik dalam menentukan keperluan sebenar yang kita inginkan,” ujar beliau.

Tegasnya, pengurusan peruntukan kewangan merupakan antara salah satu daripada 3 keutamaan ATM pada tahun ini.

Antara keutamaan lain adalah meneruskan 4 teras Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera bagi menjadikan ATM sebagai sebuah angkatan berspektrum penuh yang mampan.

4 teras yang dimaksudkan adalah Memperkasakan Kesiagaan Aset ATM, Memperkasa Warga ATM Yang Cemerlang, Mengukuhkan Keupayaan ATM dalam Domain Siber dan Menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan.

“Teras-teras ini haruslah dijadikan sebagai panduan strategik  bagi merealisasikan hasrat menjadikan Angkatan Tentera Malaysia sebagai sebuah angkatan berspektrum penuh yang holistik dan mampan,” katanya.

Keutamaan ketiga adalah melancarkan dokumen Strategi Ketenteraan Negara 2.0 dan 4DMAF pada tahun ini.

“Saya mengakui bahawa ianya mengambil masa yang agak lama untuk menyelaraskan kedua-dua dokumen ini,

“Namun, saya yakin ianya akan memberikan suatu perspektif yang baharu buat kita semua.

“Kedua-dua dokumen ini haruslah difahami kerana ianya akan menjadi rujukan utama dalam meneruskan agenda pembangunan angkatan seperti mana yang telah dihasratkan di dalam Kertas Putih Pertahanan,” kata Panglima Angkatan Tentera. 

Subscribe to receive free email updates: