Yang Dipertuan Agong Saksikan Demo Kenderaan 4x4 dan 6x6 di FNSS Turkiye

19 Agustus 2022

Tentera Darat Malaysia memerlukan kenderaan perisai 4×4 dan 6×6 baru untuk menggantikan Condor 4x4 dan Sibmas 6x6 (all photos : Istana Negara)

Agong lawat FNSS Defence Systems AS di Turkiye

ANKARA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, berkenan melawat sebuah daripada syarikat pemain utama industri pertahanan Turkiye, FNSS Defence Systems AS, di sini.

Keberangkatan Seri Paduka disambut oleh Menteri Pertahanan Turkiye, Halusi Akar dan Ketua Eksekutif FNSS, Gurol Carmikli.


Al-Sultan Abdullah kemudian diberi persembahan taklimat dan pertunjukan demonstrasi mengenai teknologi sistem pertahanan yang dibangunkan oleh syarikat FNSS.

Ketika lawatan itu juga, baginda berkenan menaiki dua kenderaan perisai milik FNSS.
FNSS adalah syarikat yang bersama-sama DRB-Hicom Defence Technologies (Deftech) milik syarikat tempatan membangunkan kenderaan berperisai ACV 300 Adnan di Pekan, Pahang.


Kenderaan berperisai Adnan, yang digunakan oleh Kor Amor Diraja Tentera Darat sejak 20 tahun lalu, diambil sempena nama seorang askar Melayu, Leftenan Adnan Saidi yang terbabit dalam pertempuran di Singapura ketika Perang Dunia II.

Malaysia sebelum ini memesan dan menerima sebanyak 267 unit ACV-300 dalam pelbagai versi.


Al-Sultan Abdullah turut menikmati santapan tengah hari bersama Menteri Pertahanan Turkiye dan barisan pengurusan tertinggi FNSS.

Turut hadir, Menteri Pengiring yang juga Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.

Subscribe to receive free email updates: