APMM Terdesak Perlukan Kapal Induk

07 Februari 2022

Multi Purpose Mission Ships, MPMS, kapal soko­ngan logistik pelbagai guna APMM (image : NavalNews)

PETALING JAYA – Kerajaan digesa memenuhi keperluan pertahanan perairan negara dengan membekalkan kapal induk untuk kegunaan pasukan keselamatan terutamanya Maritim Malaysia (APMM) bagi mengekang sepenuh­nya pencerobohan nelayan asing.

Pakar-pakar keselamatan berpendapat, tiga buah kapal soko­ngan logistik pelbagai guna (MPMS) dengan kos hampir RM1.05 bilion yang dipohon APMM perlu disegerakan bagi mengelakkan hasil laut negara terus dicuri nelayan asing terutama dari Vietnam.

Sejak 2017, APMM telah me­negaskan keperluan mendesak kapal MPMS untuk bertindak sebagai kapal induk dan pangkalan hadapan pada kapal peronda dan helikopter APMM mengisi bekal tanpa perlu pulang ke pangkalan.

Ia sekali gus boleh menjimatkan masa proses ulang bekal dan membolehkan kapal ronda terus berada di kawasan tanggungjawab masing-masing selain dapat meningkatkan lagi keberkesanan kehadiran kapal ronda.

Kapal induk ini dicadang untuk diletakkan di perairan Be­ting Patinggi Ali dekat Laut China Selatan serta di perairan Pantai Timur yang merupakan lokasi strategik maritim.

Sebagai rekod, negara kerugian RM6 bilion setahun disebabkan pencerobohan nelayan dan ia satu nilai yang sangat besar.

Mereka menjadikan 155 kawasan pelantar minyak di pantai timur sebagai lokasi menangkap ikan.

Satu kajian mendapati, nelayan Vietnam dikategorikan sebagai sebuah angkat laut atau militia yang terlatih dan profesional yang diharapkan untuk me­nyumbang kepada hasil makanan negara berkenaan.

Mereka semakin berkembang berbanding 12 tahun lalu dengan memiliki sehingga 70,000 anggota yang dibahagikan mengikut wilayah operasi termasuk di perairan China.

Tahun lepas sahaja, seba­nyak 474 bot nelayan Vietnam menceroboh perairan barat Malaysia sehingga ke kepulauan Indonesia.

Penulis pertahanan, Khoo Jin Kiat berkata, perolehan kapal induk untuk APMM penting untuk memperkasakan keselamatan kepentingan maritim nasional.

“Elemen APMM adalah kritikal dalam menguatkuasakan kepentingan maritim lebih-lebih lagi apabila kawasan tersebut mempunyai tuntutan bertindih seperti Laut China Selatan.

“Dengan adanya kapal induk, aset tersebut boleh diatur gerak ke kawasan strategik untuk dijadikan sebagai pangkalan hadapan untuk mempertahankan keselamatan sesuatu perairan,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Tambahnya, kapal ronda boleh memperoleh bekalan ­­dari­­­p ada kapal induk tanpa perlu belayar kembali ke pelabuhan atau pangkalan masing-masing.

“Sebagai perancangan jangka masa panjang, kapal induk tersebut perlu mempunyai ciri-ciri melaksanakan pelbagai fungsi khasnya operasi sokongan logistik agar APMM lebih mampu berdepan dengan cabaran ma­ritim yang kompleks,” katanya.

Menurut Jin Kiat, kapal induk akan membuatkan operasi APMM lebih berkesan pada masa hadapan di Laut China Selatan kerana mampu melaksanakan operasi untuk tempoh yang panjang.

“Walaupun melibatkan kos yang besar tetapi ia sangat berbaloi,” katanya.

Subscribe to receive free email updates: