OSTEXEast Siri 1/2023 Uji Kapal TLDM Pertingkat Kesiagaan

26 Maret 2023

Eksesais OSTEXEast Siri 1/2023 menghadirkan CN-235MSA untuk pertama kalinya (all photos : Armada Timur TLDM)

Kota Kinabalu - Bermula 14 sehingga 22 Mac 23, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui Markas Pemerintahan Armada Timur memulakan latihan operasi maritim dengan penganjuran OSTEXEast 1/2023 (Operational Sea Training Exercise East Siri 1/2023). Konsep eksesais secara lapangan atau Field Training Exercise (FTX) menjadi fokus dalam pelaksanaan eksesais kali ini. Eksesais intra-TLDM ini merupakan siri pertama yang dilaksanakan bagi tahun 2023. Eksesais ini juga melibatkan keanggotaan dan aset di bawah Markas Wilayah Laut 2, Sandakan.


Eksesais tahunan ini menjadi platform utama dalam usaha membentuk dan meningkatkan kecekapan warga The Navy People termasuk kesiagaan aset-aset di Armada Timur. Misi utama adalah menyediakan angkatan laut yang siapsiaga menghadapi situasi ancaman maritim yang dinamik. Eksesais turut membuka ruang kepada warga The Navy People untuk mempertingkatkan kemahiran dalam aspek navigasi, ilmu kelautan dan peperangan maritim. Selain itu, melalui eksesais ini kehadiran aset-aset TLDM di Zon Maritim Malaysia dapat dipamerkan.


Terdahulu, OSTEX EAST 1/2023 telah dirasmikan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Ruzelme bin Hj Ahmad Fahimy pada 16 Mac 23. Dalam ucapan beliau, Panglima Armada Timur menekankan kepentingan untuk warga TLDM sentiasa memberi sepenuh komitmen dan berusaha mempertingkat kemahiran agar modal insan yang berkualiti dapat dikekalkan. Setiap dapatan yang diperoleh melalui pelaksanaan eksesais KERISMAS 27/2022 iaitu eksesais terbesar TLDM pada tahun lepas, dijadikan sebagai rujukan bagi meneruskan kecemerlangan operasi maritim TLDM walaupun dibelenggu isu keusangan aset. Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan kerana telah meluluskan projek kapal Littoral Mission Ship Batch Kedua semasa pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari 2023.


Fasa Pelabuhan bagi eksesais ini telah dimulakan dengan taklimat utama, perbincangan operasi di antara pegawai operasi kapal, latihan praktikal di pelabuhan dan taklimat sebelum pelayaran. Seterusnya, Fasa Laut telah terlaksana di Perairan Laut Cina Selatan. Ia menyaksikan kemampuan 8 buah kapal TLDM dan satu kapal selam diuji dengan evolusi peperangan maritim sebenar. Turut terlibat sebagai elemen udara adalah Helikopter Operasi Maritim AW139 dan pesawat UAS Scan Eagle. Pasukan sahabat iaitu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut terlibat dengan penyertaan aset-aset seperti helikopter EC725, pesawat CN235 dan pesawat Hawk untuk evolusi peperangan anti udara di dalam domain peperangan maritim.


Evolusi di laut turut menguji ketangkasan warga The Navy People dengan melaksanakan latihan menghadapi peperangan permukaan, manuvra taktis, penembakan sasaran permukaan statik, latihan menggeledah, pemindahan tali ringan dan pendaratan helikopter di kapal. TLDM turut memastikan ketiga-tiga elemen iaitu People, Platform dan Process dijadikan intipati dalam segala pelaksanaan eksesais. Ini bertujuan sebagai pemantauan berterusan terhadap tahap kompetensi warga The Navy People yang menjadi keutamaan walaupun mengoperasikan aset yang kian berusia.


Eksesais intra sebegini sentiasa dilaksanakan seiring peranan TLDM ketika aman iaitu menyediakan angkatan yang kompeten dan siaga sebilang masa. Ia turut menzahirkan komitmen TLDM dalam mempertahan perairan maritim negara. Mengambil semangat daripada cogan kata ‘Sedia Berkorban’, setiap evolusi yang menuntut komitmen dan fokus warga The Navy People menitikberat soal keselamatan warga dan asetnya tersendiri.

Subscribe to receive free email updates: