Pesawat C-130H Hercules TUDM (photo : Rido Ridini)
KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih lagi mengoperasikan 3 jenis pesawat angkut bagi mendukung pelbagai tugasan bantuan logistik pertahanan iaitu pesawat CN-235, Hercules C-130 dan Airbus A400M.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pesawat C-130H akan terus beroperasi sehingga tahun 2040 sebelum penggantian pesawat ini yang dilaksanakan secara berperingkat bermula pada Rancangan Malaysia ke 16 (RMKe-16).
“Melalui Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55), pesawat C130H akan terus beroperasi sehingga tahun 2040 sebelum penggantian pesawat ini yang dilaksanakan secara berperingkat bermula pada RMKe-16,
“Kehadiran Pesawat Angkut Strategik A400M yang baharu pada tahun 2015 telah meningkatkan keupayaan dukungan logistik strategik TUDM dengan jarak rangkuman lebih jauh,” katanya.
Adly menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai perancangan masa depan Kementerian Pertahanan berhubung penggunaan pesawat Hercules C-130 oleh TUDM serta usaha kementerian mengimbangi perbelanjaan, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.
Mengulas lanjut, Adly memaklumkan, pengurusan operasi semasa pesawat TUDM secara efektif dan cekap merupakan salah satu faktor kejayaan utama TUDM.
“Perkara ini dirancang melalui pengurusan sumber kewangan yang berkesan bagi mendukung visi dan misi TUDM di dalam mengimbangi peruntukan yang telah diberikan,
“Kalau kita lihat keperluan logistik yang diuruskan oleh TUDM ini bagi memastikan penggunaannya mengikut keperluan dan dalam masa yang sama kita juga melihat aspek kewangan perlu diambil kira untuk memastikan dana awam digunakan dengan sebaik mungkin,” jelasnya lagi.
(Airtimes)