TUDM Terima Pesawat F/A-18D M45-01 Setelah Menjalani Penyelenggaraan Penuh di Bawah Program LPM-12Y

08 Januari 2023

Serah terima pesawat F/A-18D Hornet nomor M45-01 (all photos : TUDM)

BUTTERWORTH – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengadakan Majlis Penerimaan Pesawat F/A-18D, yang sebelum ini menjalani proses penyelenggaraan (depot level) bertempat di Hangar Hornet Readiness Center (HRC), Pangkalan Udara Butterworth hari ini. Majlis penerimaan ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM yang menyaksikan serahan dan penerimaan melibatkan senggaraan pesawat F/A-18 D daripada pihak Syarikat Rosebank Engineering yang diwakili oleh Senior Manager, Mr Paul Pingnam kepada Leftenan Kolonel Khamizan bin Morsidi TUDM, Pegawai Memerintah No 18 Skuadron.


Setelah 24 tahun pengoperasian pesawat F/A-18 D pada tahun 2021, pihak Markas Pemerintahan Bantuan Udara (MPBU) telah merancang bagi melaksanakan penyelengaraan ‘depot level’ ke atas pesawat ini. Penyelengaraan ini melibatkan pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur pesawat, penilaian kerosakan dan baik pulih kerosakan struktur yang disebabkan haus dan lusuh atau kemerosotan material ke atas pesawat akibat persekitaran operasi.


Secara amnya pesawat F/A-18D ini perlu menjalani penyelenggaraan di luar negara. Walau bagaimanapun, penyelenggaraan ini tidak dapat dilaksanakan berikutan situasi Covid-19 yang melanda negara mengakibatkan peningkatan kos serta limitasi lain. Bagi memastikan kesiapsiagaan TUDM pada tahap yang tinggi, TUDM telah mengambil pendekatan dengan melaksanakan  penyelenggaraan ‘depot level’   yang dikenali sebagai "Local Planned Maintenance 12 Years" (LPM-12Y). Ini merupakan kali pertama dilaksanakan di Malaysia yang melibatkan kerjasama TUDM dan industri tempatan. Penyelenggaraan ini melibatkan Cawangan Kejuruteraan Pangkalan Udara Butterworth, No 18 Skuadron, Syarikat Rosebank Engineering (dikenali sebelum ini sebagai RUAG) dan G7 Global Aerospace.


Mengimbau semula pelaksanaan LPM-12Y, penyelenggaraan ini mengambil masa selama hampir setahun enam bulan mulai 26 Julai 2021 sehingga 5 Januari 2023. Selain penyelenggaraan ‘depot level', pelaksanaan LPM-12Y ini memberikan manfaat khususnya juruteknik pesawat untuk mengambil pengalaman serta menimba pengetahuan dalam penyelenggaraan pesawat secara lebih menyeluruh di samping memenuhi keperluan juruteknik bagi program senggaraan pada masa akan datang. 

Subscribe to receive free email updates: