Kapal LCS pertama akan siap seawal Julai 2024 (photo : NTSP)
MINDEF akan realisasikan projek LCS, kukuhkan pertahanan negara - Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan merealisasikan pembinaan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) demi mengukuhkan pertahanan dan perairan negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata misi MINDEF adalah untuk menyempurnakan pembinaan kapal berkenaan menjelang 2024.
"Pertimbangan kami berdasarkan komersial semata-mata. Kita nak pastikan kapal ini siap. Tak dapat enam, dapat empat pun sudah cukup asalkan siap semasa saya berada di MINDEF ini.
"Saya akan meneruskan usaha-usaha yang dilaksanakan MINDEF, Angkatan Tentera Malaysia, pelbagai agensi lain serta Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera dalam merealisasikan penyiapan LCS ini," katanya.
Mohamad berkata beliau telah mengadakan rundingan dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan MINDEF supaya dapat menerangkan keadaan sebenar berhubung isu LCS.
"Kami tidak berminat untuk menuduh sesiapa atau membelakangi seseorang, (tetapi) apa yang saya mahu melihat adalah kapal berada atas air menjelang Julai 2024," katanya.
281 Perolehan bernilai RM8 bilion
Sementara itu, Mohamad berkata pembangunan keupayaan dan kapasiti pertahanan akan diteruskan dengan jangkaan peruntukan kerajaan kepada MINDEF sebanyak RM17.4 bilion kepada belanja mengurus dan belanja pembangunan.
"Sebanyak 281 perancangan perolehan dengan unjuran nilai RM8 bilion bagi pelaksanaan pembekalan alat ganti dan penyelenggaraan aset ketenteraan ATM.
"Antaranya Meriam 155 milimeter Self Propelled Howitzer, pasang pulih KD Laksamana, KD Jerai dan KD Lekir untuk TLDM serta penyelenggaraan pesawat C130 dan pembekalan alat-alat ganti pesawat-pesawat TLDM.
"Ia juga bagi meneruskan agenda perancangan perolehan Maritime Patrol Aircraft dan Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aircraft System dan Light Combat Aircraft selain memastikan keutamaan perolehan Littoral Mission Ship dapat dipertimbangkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi," katanya.
Beliau berkata kesemua projek yang dirancang mesti disegerakan terutamanya yang melibatkan peruntukan secara one-off atau program khusus yang wajib dibayar pada tahun semasa.
(Bernama)