Kapal LMS Keempat, KD RENCONG tiba di Kota Kinabalu

29 Desember 2021

KD Rencong 114 (photos : TLDM)

KOTA KINABALU – Kapal Misi Persisir (LMS) keempat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), RENCONG telah selamat tiba di Pangkalan TLDM di Kota Kinabalu, hari ini.

Markas Pemerintahan Armada Timur menerusi hantaran di media sosialnya berkata, ketibaan kapal tersebut telah disambut oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali serta barisan kepimpinan tertinggi Armada Timur.


“Kapal LMS Rencong yang dianggotai 45 orang kru selamat tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu hari ini setelah majlis penyerahan fizikal kepada Kerajaan Malaysia selesai dilaksanakan pada 18 Disember yang lalu di Qidong, China.

Penggunaan nama Rencong adalah bersempena senjata tradisional Melayu yang turut melambangkan simbol semangat kepahlawanan, perjuangan, keberanian dan kekuatan dalam menentang dan menangkis serangan musuh.

Kapal LMS Rencong mula dibina pada 18 September 2019 dan dilancarkan ke permukaan air pada 16 Disember tahun lepas oleh Pasukan Projek LMS TLDM di Wuhan.


Manakala, penyerahan Rencong kepada Malaysia telah dilaksanakan pada 18 Disember lalu di Qidong, China.

Pada Oktober lepas, TLDM juga telah mentauliahkan kapal LMS yang ketiga, KD Badik di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Rencong merupakan kapal LMS keempat TLDM yang akan menyertai Skuadron LMS Ke-11 yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. 

Subscribe to receive free email updates: