TUDM Cipta Sejarah Rekod Jam Penerbangan Tertinggi Helikopter H225M di Asia

26 Februari 2022

Helikopter H225M TUDM (photo : Lihutao)

SHAH ALAM - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mencipta sejarah apabila merekodkan jumlah jam penerbangan terkumpul paling tinggi di Asia menerusi helikopter H225M (EC725AP).

Airbus dalam kenyataan memaklumkan, kesemua 12 unit H225M itu telah mencapai rekod jam penerbangan keseluruhan lebih dari 20,000 jam penerbangan.

“Fleet helikopter H225M Tentera Udara Diraja Malaysia sebanyak 12 unit ini telah berkhidmat semenjak 2012 lagi.

“Direka bentuk untuk menangani misi yang paling mencabar, helikopter H225M telah mengambil bahagian dan menyertai pelbagai misi latihan dan kemanusiaan, termasuk operasi penyelamatan semasa banjir dan operasi menyelamatkan nyawa termasuk cabaran menangani pandemik Covid-19.

“Secara keseluruhan, kesemua unit tersebut berjaya mengumpulkan sejumlah 20,000 jam penerbangan,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Airbus Helicopters telah menganjurkan satu majlis di Pangkalan Udara Kuantan untuk menyampaikan penghargaan kepada TUDM di atas kejayaan tersebut.

Anugerah tersebut disampaikan Ketua Serantau bagi Airbus Helicopters Asia Pasifik, Vincent Dubrule, kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM bagi meraikan dan memperingati pencapaian penuh bersejarah itu.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan; Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia merangkap Ketua Pegawai Operasi Airbus Helicopters Asia Pasifik, Gerard Pau serta wakil Ketua Negara Airbus di Malaysia, Raymond Lim.

Subscribe to receive free email updates: