APMM Dapat Kapal Baharu -KDN

17 Februari 2022

Aset APMM (photo : PaduInfo)

KLANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memastikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memperoleh kapal baharu bagi menggantikan kapal milik agensi itu yang sudah berusia lebih 30 tahun.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya akan menggesa syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan kapal itu dalam tempoh terdekat.

Katanya, sebelum ini kontrak bagi membina kapal berkenaan telah diberikan kepada sebuah syarikat yang sepatutnya siap 2 tahun lepas,namun terlewat kerana tiada kemampuan oleh syarikat itu.

"Dalam perancangan, KDN memang memastikan segala aset diperlukan itu dapat diperoleh secepat mungkin kerana ia boleh membantu menyelamatkan negara daripada pencerobohan pihak yang melakukan jenayah terancang.

"Walaupun kita sudah memberikan kontrak kepada sebuah syarikat, sepatutnya sudah diperoleh dalam dua tahun lalu, tetapi terlewat kerana tiada kemampuan oleh syarikat itu.

"Jika tidak, kita (sudah) ada tiga kapal baru, tetapi oleh kerana kelewatan mereka, ia tergendala.

"Bagaimanapun, kita menggesa supaya kapal ini siap dalam tempoh terdekat, sekurang-kurangnya satu kapal dapat tahun ini, tahun depan dapat satu dan seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika Sambutan Hari Ulang Tahun ke-17 Maritim Malaysia (HUT17 APMM) di atas KM Arau pada kedudukan 30 batu nautika dari Pusat Hidrografi Nasional, di sini, hari ini.

Hadir sama, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubli Mat Som.

Pada sidang media sama, Hamzah berkata, pertunjukan sempena sambutan HUT17 APMM itu hari ini juga memperlihatkan kebanyakan kapal ditampilkan sudah begitu lama dan perlu diganti.

"Kebanyakan kapal berumur 30 tahun ke atas, ada melebihi 40 tahun, dalam ketentuan perkiraan kita...ia perlu kapal baharu, Insya-Allah.

"Antaranya, KM Amanah yang berusia lebih 40 tahun dan kini ditempatkan di perairan Kelantan.

"KM Langkawi berusia lebih 30 tahun kini ditempatkan di perairan Pahang serta KM Siangin berusia lebih 30 tahun dan kini ditempatkan di perairan Kedah dan Perlis," katanya.

Hamzah berkata, selain kapal, pihaknya merancang menambah tiga helikopter untuk kegunaan APMM.

"Kajian sedang dibuat memandangkan helikopter dimiliki ketika ini boleh beroperasi selama empat jam dan ia tidak mencukupi," katanya

Subscribe to receive free email updates: