Project Management Review Pertama Bagi Kontrak Perolehan 13 Unit Fast Interceptor Craft (FIC) TLDM

24 Desember 2022

Kunjungan ke Gading Marine Industry (photo : TLDM)

LUMUT – Mesyuarat Project Management Review (PMR) yang pertama bagi Kontrak Perolehan 13 unit Fast Interceptor Craft (FIC) telah dilaksanakan di Bilik Mesyuarat Damai 1, Double Tree by Hilton Damai Laut, Perak pada 22 Dis 22. Mesyuarat dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan, Encik Mohammad Abiddin bin Abd Rahman dan turut hadir Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Mohamad Azuwan bin Harun dengan penglibatan wakil TLDM, Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan serta limbungan Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd.
 
Mesyuarat PMR ini bertujuan untuk melihat status terkini projek serta menilai semula pelaksanaan kontrak terutama aktiviti-aktiviti utama yang melibatkan pembinaan, penerimaan serta jadual pembayaran.

Fast Interceptor Craft (FIC) TLDM (photo : Bernama)

Secara keseluruhannya, kemajuan terkini projek telah mencapai tahap 15.02% iaitu awal 40 hari berbanding 10.02% yang dirancang. Pengerusi berpuas hati dengan pencapaian projek setakat ini walaupun masih di peringkat awal namun mengingatkan semua pihak yang terlibat khususnya pihak kontraktor supaya fokus terhadap tanggungjawab mereka dengan mengekalkan momentum kerja memastikan projek ini disiapkan dengan jaya mengikut  garis masa yang dirancang.

Sejurus selesai mesyuarat, ahli mesyuarat telah melawat lokasi pembinaan 4 buah FIC fasa pertama di limbungan Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd, Kampung Acheh, Sitiawan. Keseluruhan 13 unit FIC ini dijadualkan siap secara berfasa sehingga tahun 2024 di mana 4 unit FIC bakal diterima TLDM pada tahun 2023 manakala 9 unit FIC yang seterusnya pada tahun 2024.

Subscribe to receive free email updates: