Latihan Aerial Mine Laying 2022 Perkukuhkan Pertahanan Maritim Negara

11 Desember 2022

Latihan Aerial Mine Laying (AML) 2022 (photos : TLDM)

SUBANG – Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (Mk SPPA) telah berjaya menganjur dan mengkordinasikan Latihan Penaburan Periuk Api atau lebih sinonim dengan Aerial Mine Laying (AML). Latihan ini dilaksanakan secara dua hala bersama TLDM dan TUDM bertujuan untuk menguji serta mengukuhkan kesiagaan Mk SPPA bersama Depot Peluru dan Bahan Letupan Barat (DPLB) dalam aspek  keupayaan dimensi Peperangan Periuk Api (PPA) dengan menggunakan platform penaburan udara pesawat C130H dan A400M.


Antara unit-unit TLDM yang turut serta dalam latihan ini adalah PROTELA Lumut dan Depot Kenderaan TLDM. Selain itu, latihan ini turut melibatkan kolaborasi bersama Bahagian Trafik PDRM bagi mengiring dan mengawal lalu lintas sepanjang perjalanan konvoi.


Latihan ini telah berlangsung selama 3 hari mulai 28 sehingga 30 Nov 22 merangkumi 3 fasa iaitu fasa pertama -  Penyediaan periuk api dan kenderaan serta pergerakan dari Pangkalan TLDM Lumut ke Pangkalan Udara (PU) Subang. Fasa kedua - Pemunggahan dan pemasangan periuk api di pesawat C130H dan A400M termasuk penyampaian taklimat oleh pihak TLDM dan TUDM mengikut tugas dan tanggungjawab masing-masing sebelum melaksanakan latihan secara praktikal. Fasa ketiga - Pengguguran periuk api yang dilaksanakan secara teori dan taktikal.  Sebanyak 8 periuk api telah dimuat naik ke dalam pesawat sebagai latihan dan simulasi pengguguran. Latihan kali ini juga memberi peluang kepada pihak TLDM dan TUDM dalam membangunkan SOP kepada pesawat A400M sebagai platform baharu bagi Operasi Penaburan Periuk Api.

Latihan pada kali ini turut melibatkan perbincangan dan percambahan idea antara TLDM dan TUDM untuk proses penambahbaikan latihan akan datang bagi perancangan latihan yang menyeluruh meliputi peringkat operasional dan taktikal.


Latihan berjaya dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang insiden sepanjang latihan berlangsung. Sesi taklimat, perkongsian ilmu dan perbincangan antara TLDM dan TUDM telah berjaya direalisasikan sebagai nilai tambah bagi mengukuhkan lagi pengetahuan warga berkaitan latihan ini dan penambahbaikan sebagai panduan pada masa akan datang bagi meningkatkan lagi tahap kesepaduan dan kesefahaman pelaksanaan dimensi PPA khususnya antara TLDM dan TUDM.

Selain itu, kemampuan dan kesiagaan aset pertahanan negara juga telah dapat diuji dengan komprehensif dalam mempertahankan kedaulatan maritim negara pada sebilang masa.

Subscribe to receive free email updates: