Beechcraft Super King Air B200T TUDM (photo : presiic)
KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini menjelaskan rancangan penamatan khidmat pesawat Beechcraft Super King Air B200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah pada tahun 2024.
“Ini adalah selari dengan Dasar Perintah Am Angkatan Tentera,” kata Ismail Sabri semasa Pengulungan Bahas.
Menurut beliau, peranan pesawat tersebut akan digantikan dengan Pesawat Rondaan Maritim (Maritime Patrol Aircraft, MPA) yang lebih berkeupayaan. Pengantian pesawat tersebut adalah selari dengan pelan Capability 55 (CAP 55) TUDM.
“Perolehan MPA telah diluluskan oleh kerajaan. Pesawat tersebut adalah lebih berkemampuan untuk melakukan rondaan maritim secara menyeluruh dan berkesan,” ujarnya.
Ismail Sabri menambah, Beechcraft telah berkhidmat dalam TUDM semenjak tahun 1994 dengan melakukan rondaan maritim secara terhad di Zon Ekonomi Esklusif negara.
“Ini kerana had jangkauan, jarak, saiz kabin, kuantiti platform yang terhad serta sistem pengawasan terbatas,” jelasnya.
Sebelum ini, TUDM mengoperasikan sebanyak 4 buah pesawat tersebut namun salah sebuah daripadanya telah musnah dalam nahas udara pada 21 Disember 2016.
Kejadian tersebut telah mengorbankan seorang juruterbang, Leftenan Kolonel Kayamboo Chellam TUDM.
“Menyentuh kejadian nahas tersebut, TUDM telah mengklasifikasikan insiden tersebut sebagai training hazard (kemalangan latihan) dan bukannya isu teknikal,
“TUDM telah membuat kajian dan penambahbaikan latihan sedia ada bagi menggelakkan sebarang kejadian sama berlaku,
“Penambahbaikan telah dimasukkan dalam prosedur operasi pesawat yang digunakan sehingga hari ini,” jelasnya lagi.
Program CAP55 telah diperkenalkan pada tahun 2018 dan menggariskan rancangan pembangunan jangka panjang TUDM sehingga tahun 2055.
Melalui rancangan tersebut, TUDM telah bercadang untuk membentuk satu skuadron pesawat MPA.