Eksesais PARADISE 9/22 Bersama ELANGAROO 22 Menjadi Pencapaian Besar TUDM Tingkatkan Kesiagaan dan Perkukuhkan Kerjasama Bilateral

21 November 2022

Flypast pesawat-pesawat TUDM dan RAAF (photo : fiq ismail)

BUTTERWORTH – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Diraja Australia (Royal Australian Air Force (RAAF)) hari ini secara rasmi telah menutup Eksesais ELANGAROO 22 dan Eksesais PARADISE (Paradrop, Air Defence, Insertion, Strike, Search and Rescue and Extraction) Siri 9/22 di dalam satu acara Perbarisan Penutup Eksesais ELANGAROO 22 dan PARADISE 9/22 bertempat di Pangkalan Udara Butterworth. 

Latihan bersama TUDM bersama RAAF (photos : RAAF, TUDM)

TUDM telah melaksanakan Eksesais ELANGAROO 22 dan Eksesais PARADISE 9/22 bermula 7 sehingga 18 Nov 22 yang julung kalinya disertai oleh Royal Australian Air Force (RAAF) bagi meningkatkan aspek pengukuhan kerjasama pertahanan di peringkat serantau serta meningkatkan kebolehoperasian (interoperability) keupayaan udara di antara TUDM dan RAAF, memaksimumkan keupayaan pertempuran bersama dan melaksanakan misi bersama secara berkesan terutamanya dalam latihan pertempuran udara.


Eksesais PARADISE 9/22 dan ELANGAROO 22 yang berlangsung selama 12 hari menyaksikan penglibatan pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat TUDM, TDM, TLDM dan RAAF seramai 1,150 anggota. Eksesais ini telah melibatkan 30 buah pesawat dan elemen sokongan yang telah digerakkan bagi mencapai objektif utama eksesais ini.  Aset-aset TUDM yang terlibat merangkumi aset udara ialah Su-30MKM, F/A-18D, Hawk, A400M, C-130H, CN-235, EC-725 AP dan AW-139 serta Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan Pasukan Pertahanan Darat TUDM (HANDAU). Manakala aset elemen sokongan TUDM yang terlibat adalah radar pertahanan udara dan sistem Ground-Based Air Defence System (GBAD) serta Seksyen Hantaran Udara (SHU).


Eksesais gabungan ini juga turut dibantu oleh aset-aset TDM dan TLDM . Manakala RAAF yang buat julung kali telah membawa enam buah pesawat pejuang tercanggih di dunia iaitu pesawat F-35A ke Pangkalan Udara Butterworth.


Latihan utama TUDM iaitu FTX PARADISE 9/22 adalah untuk memastikan keupayaan dan kesiagaan TUDM sentiasa berada di tahap yang terbaik khususnya bagi melindungi kedaulatan ruang udara negara. Dengan aktiviti eksesais yang telah dirancang digabungkan dengan eksesasi bilateral ELANGAROO 22, secara tidak langsung akan meningkatkan kredibiliti dan keyakinan rakyat dan negara kepada TUDM dalam menangani isu-isu keselamatan negara.

See full article TUDM

Subscribe to receive free email updates: