MD530G Pamer Taring di Latihan Kuasa Tembakan 2022

27 Juni 2022

MD530G PUTD dalam LKT 2022 (all photos : AirTimes)

GEMAS – Aset baharu Tentera Darat Malaysia (TDM), helikopter MD530G pamer keupayaannya semasa Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022 di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, hari ini.

Helikopter yang dikendalikan oleh 883 Skuadron Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia (PUTD) melakukan penembakan dengan menggunakan M134D Gattling Gun dan FN Herstal 12.7mm Heavy Machine Gun Pod.

Aksi yang dipamerkan oleh MD530G merupakan sebahagian daripada demonstrasi keupayaan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa LKT 2022.

Helikopter keluaran MD Helicopter Inc ini telah diserahkan secara rasmi oleh Destini kepada TDM pada 13 Jun lalu.


Penyerahan helikopter ini dilaksanakan selepas MD530G selesai menamatkan Ujian Penerimaan Akhir (Final Acceptance Test).

Latihan tahunan LKT 2022 disaksikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Panglima-panglima perkhidmatan.

Turut hadir menyaksikan acara ini ialah anakanda kepada Yang di-Pertuan Agong, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri Kanan Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, pengujian helikopter MD530G sekaligus memberi peluang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TDM untuk menilai sebarang ruang penambahbaikan bagi keupayaan aset pada masa akan datang.


Menyentuh MD530G, Hishammuddin menjelaskan isu perolehan helikopter tersebut telah selesai.

“Hari ini kita semua dapat saksikan helikopter MD530G telah pun dimanfaatkan dan dapat diuji keupayaannya dalam LKT tahun ini,

“Isu mengenai helikopter ini telah dapat diselesaikan dan ia juga telah diterima oleh end user (Tentera Darat) yang sangat memerlukannya iaitu PUTD,” katanya dalam kenyataan.

MD530G merupakan helikopter tinjau dan serangan ringan keluaran syarikat Amerika Syarikat, MD Helicopter Inc. 

Subscribe to receive free email updates: