Brunei Tetapkan Anggaran Pertahanan 2022/2023

01 Maret 2022

Anggaran Pertahanan 2022/2023 sebesar B$ 597,673,680 turun 2,05% dari anggaran tahun 2021/2022 sebesar B$610,170,920 (photo : DeltaSquad833)

Menteri Pertahanan Kedua Membentangkan Belanjawan Kementerian Pertahanan Bagi Tahun Kewangan 2022/2023

BANDAR SERI BEGAWAN – Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Pertahanan Kedua membentangkan belanjawan Kementerian Pertahanan semasa Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan ke-18 Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini.

Anggaran belanjawan bagi Kementerian Pertahanan yang telah diperuntukkan bagi Tahun Kewangan 2022/2023 ialah B$ 597,673,680.00.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua memaklumkan bahawa Kementerian Pertahanan akan terus menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan ke arah memastikan persekitaran keselamatan negara yang kukuh dan selamat bagi mendukung usaha pemulihan negara berikutan pandemik COVID-19. Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut meneruskan komitmennya untuk memenuhi visi baharu kementerian iaitu, ‘Sebuah Angkatan Tentera Yang Dihormati dan Rakan Kerja Yang Mantap’ sepertimana yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan 2021.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua mengetengahkan peranan ABDB dalam menerajui tanggungjawab dan memberikan sokongan terhadap inisiatif kepada respon COVID-19 kebangsaan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain khususnya Kementerian Kesihatan melalui Pusat Penyelarasan Kebangsaan bagi COVID-19. Selain itu, Kementerian Pertahanan dan ABDB melalui Task Force COVID-19 yang telah ditubuhkan sejak tahun 2020 juga terus memberikan pelbagai bantuan operasi seperti bantuan logistik, ujian makmal dan saringan, dan pelaksanaan program vaksinasi termasuk operasi-operasi keselamatan di segenap pelusuk perbatasan negara.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua juga mengongsikan bahawa pada tahun 2021, Kementerian Pertahanan telah berjaya memikul tanggungjawab sebagai pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang ke-15 dan ADMM-Plus yang ke-8 dalam membina ASEAN-centric security architecture yang lebih inklusif, positif dan teguh bagi menjamin Asia Tenggara kekal sebagai sebuah rantau yang makmur, stabil dan aman.

Mukadimah diakhiri dengan memaklumkan bahawa seiring dengan pelancaran Kertas Putih Pertahanan 2021 bersempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-60 atau Jubli Intan ABDB pada bulan Mei tahun lalu, Kementerian Pertahanan sedang dan akan terus melaksanakan pendekatan ‘Whole of Government / Whole of Nation’ yang lebih fokus dan komprehensif selaras dengan kepentingan-kepentingan strategik berganding bahu bersama agensi kerajaan dan swasta, dalam menentukan keamanan, keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan negara. Kementerian Pertahanan dan ABDB juga akan sama-sama bekerjasama dengan rakan-rakan antarabangsa ke arah memastikan suasana persekitaran keselamatan serantau dan antarabangsa akan terus terjamin.

Subscribe to receive free email updates: