26 Januari 2021
Helikopter Operasi maritim yang dipilih kemungkinan adalah AW139 maritime (photo : Estelle's Aviation)TLDM bakal terima dua lagi kapal LMS - Mohd Reza
KUALA LUMPUR -- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka menerima baki dua lagi Kapal Misi Pesisir (LMS) pada Ogos serta November, tahun ini.
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, LMS pertama (KD Keris) telah menyertai Armada TLDM pada 17 Jan tahun lepas bagi melaksanakan tugas rondaan dan pengawasan maritim, manakala LMS kedua (Sundang) baru diterima pada 14 Jan.
Beliau berkata kesemua LMS itu bakal menyertai Skuadron LMS Ke-11, turut sama melakukan tugasan mencari dan menyelamat di samping menguatkuasakan undang-undang maritim Malaysia.
“Jadi baki kapal salah satu daripada lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15to5 akan diterima pada tahun ini, seperti yang dirancang.
Tiga buah Helikopter Operasi Maritim
“Selain itu, TLDM juga akan menerima tiga buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) secara berperingkat iaitu bermula pada tahun hadapan,” katanya dalam perutusan tahun baharu tahun 2021, hari ini.
Mohd Reza berkata sebanyak tiga buah HOM, menerusi kontrak perolehan dimeterai pada 2 Sept tahun lepas, dengan yang pertama akan diterima pada 30 Okt 2022, kedua pada 31 Mei 2023 dan terakhir pada 28 Feb 2024.
Scaneagle Unmanned Aerial System (UAS)
“Selain itu, sebanyak enam daripada 12 buah ‘Vertical Take-off and Landing (VTOL) Unmanned Aerial System (UAS) ScanEagle’ telah diterima setakat ini, manakala baki lagi enam pihak TLDM akan terima pada Jun tahun ini.
“Selaras dengan pelan pembangunan dan keperluan operasi masa hadapan, TLDM turut merancang untuk melaksanakan perolehan menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) bermula tahun ini hingga 2025,” katanya.
Beliau dalam masa sama memaklumkan sebanyak RM2.9 bilion diperuntukkan tahun ini buat TLDM, iaitu peningkatan sebanyak RM164 juta (5.96 peratus) berbanding tahun lepas.
“Daripada jumlah berkenaan, RM1.683 bilion diperuntuk bagi Belanja Mengurus dan RM1.233 bilion untuk Belanja Pembangunan,” katanya.
(Bernama)