KUALA LUMPUR – Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany hari ini menegaskan, tahap kesiagaan armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi keutamaan pasukan itu bagi mempertingkatkan tahap operasi dalam menjaga kedaulatan perairan negara.
Menurut beliau, empat teras utama Hala Tuju Kepimpinan TLDM turut menitikberatkan pembangunan Armada TLDM agar sejajar dengan perancangan Program Tranformasi TLDM 15 to 5.
“Selain itu, TLDM akan terus meningkatkan integrasi dan sokongan kepada aspek kebersamaan serta menyediakan modal insan terbaik untuk memenuhi keperluan masa hadapan,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu yang disiarkan melalui media sosial rasmi milik TLDM, hari ini.
Mohd Reza turut menjelaskan, direktif strategik yang sedia ada akan dijadikan sebagai panduan dalam memacu TLDM ke arah kecemerlangan.
Justeru, beliau berkata, kesinambungan pelan strategik pembangunan TLDM diteruskan dengan mengambil panduan daripada Kertas Putih Pertahanan (KPP), Sistem Pengurusan Strategik (SPS) ATM 2125, Direktif Strategik Panglima Tentera Laut (DS PTL) dan Amanat Panglima Angkatan Tentera Tahun 2020.
Peta Strategik 2021- 2025 (PS TLDM 2125) mengandungi 4 teras utama iaitu:
1. Keupayaan dan Kesiagaan Angkatan (Force Capability and Readiness).
2. Keberkesanan Perhubungan Strategik (Strategic Relationship Effectiveness).
3. Kecemerlangan Modal Insan (Human Capital Excellence).
4. Kesejahteraan Warga TLDM (Well Being of the Navy People).
Selain itu, Mohd Reza mengingatkan warganya agar lebih membuka minda untuk berubah demi untuk kecemerlangan di masa hadapan.
Beliau turut menegaskan agar warga TLDM meningkatkan kompetensi modal insan, kesiagaan platform dan penambahbaikan proses untuk menilai kekuatan armada.
“Kedudukan kita perlu dinilai dengan lebih kerap. Oleh itu, saya mahu perancangan teliti kepada ketiga-tiga elemen ini dilaksanakan mengikut keutamaan dan bersesuaian dengan keadaan semasa,
“Setiap perancangan yang dibuat perlu diselarikan dengan peruntukan kewangan yang diterima agar ia dapat dioptimumkan sewajarnya dan memberi pulangan faedah atau ROI yang tinggi kepada TLDM,” ujarnya.
(AirTimes)