OSTEX WEST 2/22 Peraga Aset TLDM Armada Barat di Selat Malaka

30 September 2022

OSTEX WEST siri 2/22 (photos : TLDM)

Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) melalui Bahagian Perancangan dan Kontigensi (N5) telah menganjurkan Operational Sea Training Exercise West Siri 2/2022 (OSTEX WEST 2/22) mulai 21 sehingga 28 September 2022 di Lumut dan perairan Selat Melaka dengan jayanya.

OSTEX WEST 2/22 ini merupakan platform bagi menguji keberkesanan Latihan Perang Pangkor yang telah dilaksanakan sebanyak 39 siri untuk tahun 2022. Selain itu, OSTEX WEST 2/22 juga menyediakan kapal-kapal TLDM di Armada Barat bagi menghadapi eksesais intra TLDM terbesar iaitu Eksesais KERISMAS 27/22 yang akan dilaksanakan mulai 3 sehingga 20 Oktober 2022 di Laut China Selatan, bersama kapal-kapal dari Armada Timur dengan penglibatan sebanyak 23 aset permukaan TLDM secara keseluruhan.


Terdapat dua fasa Eksesais yang telah dilaksanakan iaitu Fasa Pelabuhan dan Fasa Laut. Semasa Fasa Pelabuhan, beberapa siri latihan telah dilaksanakan merangkumi Table Top Exercise (TTX), Perbincangan Pegawai Operasi dan Taklimat Pra-Pelayaran manakala bagi Fasa Laut, objektif latihan telah direalisasikan melalui Field Training Exercise (FTX) meliputi aspek Navigasi, Ilmu Kelautan, Komunikasi dan Peperangan.

Sebanyak tujuh buah kapal terlibat dalam Eksesais ini iaitu KD JEBAT selaku Commander Task Group 21.0 (CTG 21.0), KD SRI INDERA SAKTI, KD GAGAH SAMUDERA, KD LEKIR, KD LAKSAMANA HANG NADIM, KD KINABALU dan KD GEMPITA serta Fast Combat Boat, pesawat Fennec TLDM dan F/A-18D TUDM sebagai aset sokongan.


Terdahulu, Upacara Pembukaan OSTEX WEST 2/22 telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Armada Barat, Yang Berbahagia Laksamana Pertama Farizal Myeor di Pusat Taktikal Maritim (PUSTAKMAR), Pangkalan TLDM Lumut pada 23 September 2022.

Selain daripada meningkatkan tahap kesiagaan aset dan kompetensi warga TLDM dalam aspek peperangan maritim, pelaksanaan OSTEX WEST 2/22 juga turut bertindak sebagai serampang dua mata dengan memperagakan aset TLDM di perairan Selat Melaka bagi meningkatkan keyakinan komuniti maritim terhadap TLDM dalam melindungi kepentingan Zon Maritim Malaysia.

Subscribe to receive free email updates: