DEFTECH Perkenal UAV Taktikal Teknologi Malaysia

31 Maret 2022

Deftech ISR UAV (photos : DSA)

KUALA LUMPUR: Pesawat tanpa pemandu (UAV) taktikal pertama dibangunkan secara tempatan yang berkebolehan beroperasi pada waktu siang dan malam dengan ketahanan selama 10 jam, diperkenalkan semalam.

UAV dikenali sebagai Pesawat Perisikan Peninjauan Pemantauan tanpa pemandu (ISR UAV) itu yang juga mampu terbang dengan jarak 100 kilometer direka sepenuhnya oleh DEFTECH Unmanned Systems Sdn Bhd, anak syarikat DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DEFTECH Fazley Ariffin berkata pembangunan UAV taktikal tersebut merupakan suatu pencapaian membanggakan untuk industri pertahanan tempatan. 

Beliau berkata teknologi autonomi seperti UAV atau dron ini dapat melipatgandakan keupayaan pasukan pertahanan dan keselamatan dengan menyediakan platform yang selamat untuk mengendalikan sebarang situasi atau persekitaran berbahaya dan mencabar.

“Pembangunan ini menandakan satu langkah ke hadapan yang baharu untuk DEFTECH dalam menerokai bidang teknologi pertahanan,” katanya dalam kenyataan sebaik pelancaran UAV berkenaan semalam.


ISR UAV dengan berat maksimum 120 kilogram (kg) untuk berlepas itu dan mampu membawa kapasiti muatan seberat 15 kg dilancarkan oleh Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Asia 2022, di sini.

Jelas Fazley, pembangunan 100 peratus secara tempatan ini memastikan sokongan teknikal dan tindak balas yang cepat pada kos yang kompetitif.

“Ia juga boleh disesuaikan sepenuhnya mengikut operasi khusus yang dikehendaki pengguna,” katanya. 

Beliau berkata pembangunan UAV ISR ini adalah hasil daripada pengalaman yang dipelajari ketika bekerjasama dengan pasukan pertahanan dan keselamatan dalam mengendalikan dron untuk operasi yang berbeza.

“Penggunaan UAV oleh pihak tentera dan keselamatan awam pasti akan menjadi aset untuk keselamatan negara Malaysia, terutamanya untuk situasi kritikal dan sensitif masa, seperti pengawasan dan kawalan sempadan.


“DEFTECH akan terus membangunkan teknologi sistem tanpa pemandu tempatan untuk mengurangkan pergantungan kepada pihak luar, dan membina keupayaan tempatan dalam sistem pertahanan negara,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber rasmi DEFTECH kepada Bernama, ISR UAV berkenaan kini sedang menunggu ujian penerbangan akhir.

Menurutnya, pihaknya menerima respons yang baik daripada pengunjung mengenai UAV berkenaan pada hari pertama pameran berkenaan diadakan.

DEFTECH merupakan kontraktor pertahanan Malaysia yang terlibat dalam pembangunan, pembuatan dan pembekalan kenderaan perisai dan logistik untuk keselamatan tentera dan tanah air.

Subscribe to receive free email updates: